Buletin

IMPORT BESAR-BESARAN PIKAP CBU: INDUSTRI AUTOMOTIF INDONESIA TERJEJAS!

Kamar Dagang dan Industri (Kadin) Indonesia bersama kesatuan sekerja menuntut Presiden Indonesia, Prabowo Subianto supaya membatalkan rancangan kontroversi mengimport 105,000 kenderaan niaga daripada India bernilai Rp 24.66 trilion (RM7.44 bilion).

Import ini bertujuan menyokong operasi Koperasi Desa/Kelurahan Merah Putih (KDKMP) di seluruh negara.

Wakil Ketua Umum Kadin, Saleh Husin, berkata, keputusan untuk mengimport kenderaan siap pasang (completely built-up/CBU) berisiko melemahkan industri automotif tempatan yang sebenarnya mampu memenuhi permintaan KDKMP.

“Mengimport kenderaan CBU sama dengan membunuh industri yang sedang berkembang,” tegas Saleh dalam kenyataan rasmi.

Rancangan Import dan Risiko Industri

Menurut pelan yang diumumkan oleh PT Agrinas Pangan Nusantara, sebanyak 105,000 kenderaan akan diimport, termasuk 35,000 pikap 4×4 dan 35,000 trak roda enam dari Tata Motors, serta 35,000 pikap 4×4 keluaran Mahindra & Mahindra Ltd.

Saleh menegaskan, rancangan ini bercanggah dengan visi Presiden Prabowo, yang menekankan kepentingan hilirisasi dan industrialisasi sebagai tunjang penciptaan pekerjaan dan keadilan ekonomi.

Menurut beliau, industri automotif tempatan telah bersedia membekalkan pikap yang diperlukan KDKMP, dan kapasiti kilang sedia ada mencukupi untuk memenuhi keperluan tersebut.

Industri Automotif Tempatan Mampu Berdaya Saing

Data daripada Gabungan Industri Kendaraan Bermotor Indonesia (Gaikindo) menunjukkan jumlah pengeluaran pikap tempatan sepanjang 2025 mencapai 106,117 unit, termasuk jenama seperti Daihatsu (Gran Max), Isuzu (Traga), Mitsubishi (L300 D), Suzuki (New Carry), Wuling (Formo Max), dan DFSK.

Pada awal 2026, pengeluaran pikap tempatan meningkat daripada 7,379 unit pada Januari 2025 kepada 11,199 unit pada Januari 2026.

Saleh menambah, Indonesia sejak sekian lama aktif menarik pelaburan asing untuk membangunkan industri dalam negara, termasuk industri automotif.

Oleh itu, langkah mengimport kenderaan CBU daripada India boleh menjejaskan usaha itu dan membazirkan potensi ekonomi tempatan.

Menurut Kadin, polisi perdagangan yang dikendalikan Kementerian Perdagangan (Kemendag) perlu diselaraskan dengan mandat Kementerian Perindustrian (Kemenperin) untuk menguatkan industri automotif nasional.

Tanpa koordinasi, projek KDKMP yang dimaksudkan untuk meningkatkan ekonomi desa boleh berakhir melemahkan faedah kilang tempatan.

Secara hukum, kenderaan termasuk kategori bebas import dan tidak memerlukan izin tambahan, namun secara dasar industri, kerajaan perlu berhati-hati agar pembangunan koperasi tidak menjejaskan kilang automotif tempatan.

Kerajaan juga boleh menggunakan instrumen fiskal dan pengadaan untuk mendorong penglibatan pengeluar tempatan tanpa menyalahi prinsip perdagangan terbuka.

Reaksi Pekerja dan Kesatuan

Ketua Umum Konfederasi Serikat Pekerja Indonesia, Jumhur Hidayat, turut mengecam rancangan import tersebut.

Beliau berkata, keputusan ini “tidak mempunyai legitimasi moral dan profesional,” sebaliknya hanya bertujuan meraih keuntungan sesaat.

Jumhur menekankan, Indonesia sejak hampir 40 tahun lalu telah mengekspor kenderaan. Toyota sahaja telah mengeksport lebih 3 juta unit sehingga 2025, dan jenama lain seperti Honda juga telah menghantar kenderaan ke lebih 80 negara sejak 1987.

“Dalam situasi pasaran domestik yang menurun, rancangan membeli kenderaan import dalam jumlah besar dari kerajaan sepatutnya diarahkan untuk produk tempatan, bukan menekan industri nasional,” katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa pekerja automotif akan menjadi pihak yang paling terjejas dengan pemutusan hubungan kerja (PHK) dan pengurangan jam kerja di kilang.

“Produk automotif tempatan mampu bersaing, malah jutaan unit dieksport. Rancangan import ini jelas merugikan rakyat dan industri sendiri,” tambah Jumhur.

Google ads
Back to top button