Pandu Uji

NISSAN KICK IMPUL – GAYA TRACK DAY, PARKING AEON

Pandangan pertama penulis pada Nissan Kicks IMPUL Edition memang mudah memperdaya mata. Dari jauh, ia nampak seperti sudah menerima suntikan kuasa tambahan yang signifikan, seolah-olah ada ekstra 200hp tersembunyi di bawah bonet.

Inilah kekuatan bodykit yang direka dengan betul, ia memberikan persepsi yang Nissan Kicks e-Power dibina jauh lebih kuat daripada angka spesifikasi sebenar. Nissan Kicks versi ini bukan sekadar SUV kompak biasa, tetapi sebuah model yang bermain dengan emosi dan visual.

Nama tuner aftermaeket IMPUL sendiri bukan calang-calang dalam sejarah Nissan. Ia merupakan tuner dari Jepun yang diasaskan oleh bekas pelumba Formula 1, Kazuyoshi Hoshino. Latar belakang ini memberi jenama IMPUL kredibiliti dan warisan yang kukuh dalam dunia prestasi Nissan.

Namun, pendekatan IMPUL berbeza daripada NISMO yang biasanya lebih ekstrem sehingga melibatkan talaan enjin dan casis secara menyeluruh. Talaan IMPUL lebih tertumpu kepada gaya sporty lifestyle yang masih praktikal untuk kegunaan harian.

Falsafahnya IMPUL lebih mudah, bukan untuk menjadikan kereta itu jentera litar sepenuhnya, tetapi untuk menjadikan ia kelihatan dan terasa lebih sporty dalam konteks pemanduan bandar. Pendek kata, IMPUL bukan buat kereta jadi benar-benar laju, tetapi buat orang fikir kereta itu laju secara visual

Transformasi visual paling ketara dapat dilihat pada pakej bodykit lengkapnya. Bahagian hadapan menerima front bumper spoiler dengan lip yang menjadikan gaya dan posisi Nissan Kicks nampak lebih rendah dan lebar.

Di sisi pula terdapat side skirt aero garnish yang menyambungkan visual agresif dari depan ke belakang. Bahagian belakang dilengkapkan dengan rear bumper spoiler dan roof spoiler yang menambah elemen sporty secara keseluruhan.

Emblem IMPUL menghiasi bahagian hud depan sebagai tanda identiti khas edisi ini. Kemuncak penampilan terletak pada rim 18 inci IMPUL Aura SX-50 berwarna bronze polish, dipadankan dengan tayar Goodyear Eagle F1 Sport bersaiz 225/45R18. Gabungan ini menjadikan Kicks kelihatan lebih agresif, seolah-olah bersedia untuk sesi track day di Sepang, walaupun realitinya lebih banyak menghadap parkir pusat beli-belah.

Masuk ke dalam kabin, Nissan Kicks IMPUL Edition turut hadir dengan Active Package yang menambah sentuhan sporty dan praktikal. Ia merangkumi sport pedal yang menaikkan mood pemanduan, kicking plates, kemasan speaker Kicks, pelindung pemegang pintu, cermin gelap, dashcam serta auto-dimming mirror.

Dari segi ruang, ia kekal praktikal sebagai SUV keluarga kompak dengan kapasiti but 423 liter, dan boleh dikembangkan sehingga 1,113 liter apabila tempat duduk belakang dilipat dalam konfigurasi 60:40.

Susun atur dalaman asasnya mengingatkan penulis kepada Almera, namun terasa sedikit lebih premium dengan paparan meter 7 inci, skrin infotainmen 8 inci, kemasan kulit coklat pada papan pemuka tombol gear e-Power yang moden serta stereng bawah rata yang memberi sentuhan sporty tambahan.

Untuk sistem trenkuasa, Kicks masih menggunakan enjin HR12DE 1.2 liter tiga silinder yang menghasilkan 82PS dan 103Nm. Namun enjin ini tidak memacu roda secara langsung, sebaliknya berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri berkapasiti 2.06kWh.

Pergerakan roda dikendalikan sepenuhnya oleh motor elektrik yang menghasilkan 129PS dan 280Nm. Hasilnya, respon pemanduan terasa pantas dan linear seperti sebuah EV, tanpa rasa pertukaran gear konvensional.

Pecutan dari 0 hingga 100 km/j dicapai dalam sekitar 9.5 saat, cukup meyakinkan untuk kegunaan harian, manakala penggunaan bahan api sekitar 21.7 km/l membolehkan jarak perjalanan hampir 900km dengan tangki 41 liter.

Terdapat 3 Mod pemanduan yang ditawarkan iaitu Normal, Sport dan Eco disediakan bersama fungsi e-Pedal Step yang memudahkan pemanduan dalam kesesakan trafik bandar. Pada kebanyakan masa, penulis menggunakan mode Normal yang menawarkan brek regeneratif yang paling selesa berbanding 2 mode lain

Dari segi pengendalian, penggunaan tayar 225 yang lebih lebar memberikan rasa turn-in yang sedikit lebih tajam dan stabil berbanding rim standard. Stereng terasa lebih direct, sesuai dengan imej sporty yang dibawa.

Namun komprominya ialah tahap keselesaan yang sedikit lebih tegar akibat profil tayar yang lebih nipis dan rim yang lebih besar. Walau begitu, karakter ini masih sesuai untuk pemanduan bandar sambil mengekalkan elemen sporty.

Pada masa yang sama juga penggunaan tayar Ultra High Performance ini juga menyebabkan penggunaan bahan api Nissan Kick varian Impul ini tidak dapat mencapai angka yang diiklankan. Mungkin disebabkan oleh tayar yang lebar dan pekali seretan tayar yang bertambah

Pada masa yang sama, bunyi deruman tayar ketika bergolek menjadia lebih kuat berbanding dengan varian standard yang menggunakan rim 17 inci dan tayar “Eco”. Sama seperti model Nissan yang lain, sokongan badan dari kusyen adalah sangat bagus yang memberikan keselesaan walaupun pemanduan jarak jauh

Walaupun di atas kertas kuasa yang ditawarkan adalah sekitar 129PS dan 280Nm sahaja, namun untuk pemanduan dalam bandar yang memerlukan anda memecut untuk menukar lorong atau memasuki lebuh raya, ia sebenarnya sudah mencukupi. Apatah lagi tork yang menerjah masuk, memberi respon segera sama seperti kereta elektrik

Jika diperah dengan betul, trenkuasa e-Power ini masih mampu memberikan kelajuan sehingga “rapat meter” pada meter gabungan analog dan digital. Boleh tahan laju. Pada masa yang sama gabungan talaan cesi, respon brek, dan tindakbalas stering lebih hidup daripada kereta elektrik buatan China

Ia lebih meyakinkan untuk anda sesekali berseronok dengan Nissan Kicks e-Power ini dan ketika di selekoh, kawalan cesi sangat mendengar kata. Cuma janganlah belasah seperti jentera Nismo. Jika dipandu laju, maka penjimatan bahan api gagal mencapai objektif

Secara keseluruhan Nissan Kicks IMPUL Edition bukanlah sebuah Nissan 400Z dalam badan SUV. Ia tidak mengubah Kicks menjadi jentera prestasi sebenar. Namun dari segi visual dan aura, ia berjaya mencipta kehadiran yang jauh lebih berani di jalan raya.

Dengan stance lebih rendah, bodykit lengkap dan rim bronze yang menyerlah, model ini memberi identiti tersendiri kepada sebuah SUV bandar. Ia lebih kepada gaya dan persepsi, tetapi dalam dunia automotif moden, kadang-kadang itu sudah cukup untuk membuatkan orang berpaling melihat.

Google ads
Back to top button