
CHERY RELY P3X MASUK Q4: PIKAP DIESEL PHEV SEDIA DILANCARKAN DI AUSTRALIA
Pembuat kenderaan China, Chery Automobile, mengesahkan bakal memperkenalkan pikap plug-in hibrid (PHEV) diesel pertama di Australia menjelang suku keempat tahun ini.
Model berkenaan, yang menggunakan kod nama KP31, sebelum ini didedahkan di China sebagai Rely P3X.
Langkah itu menandakan kesungguhan Chery untuk mengukuhkan kedudukan dalam segmen trak pikap, yang kini semakin kompetitif di peringkat global.
Tahun lalu, syarikat itu melancarkan Rely R08 di pasaran domestik dengan harga permulaan 88,800 yuan (kira-kira AS$12,850 / sekitar RM60,000).

Model tersebut kemudian diperluaskan ke pasaran luar seperti Amerika Latin dan Asia Barat, malah dikenali sebagai Chery Himla di beberapa negara.
Chery juga berhasrat menjadikan Rely sebagai jenama berdiri sendiri khusus untuk barisan pikap. Selain R08, varian R08 Pro dan R08 EV sudah pun diperkenalkan, manakala konsep P2X dan P3X dipertontonkan sebagai gambaran hala tuju masa depan.
Bagi pasaran Australia, P3X akan dijual menggunakan lencana Chery dan dijangka memasuki bilik pameran pada suku keempat 2026.
Dari segi reka bentuk, KP31 tampil sebagai pikap dwi-kabin bersaiz besar dengan panjang sekitar 5,610mm. Gayanya berimej lasak; lampu hadapan bulat, bampar besar, pelindung badan plastik serta tayar semua rupa bumi.

Penampilannya mengingatkan kepada Jeep Gladiator, namun dengan sentuhan rekaan tersendiri termasuk lencana Chery bercahaya.
Apa yang membezakan model ini ialah trenkuasa PHEV berasaskan enjin diesel 2.5 liter, yang didakwa mencapai kecekapan terma sehingga 47 peratus.
Butiran motor elektrik dan kapasiti bateri masih belum diumumkan, tetapi platform diesel-PHEV yang pernah dipamerkan di China menunjukkan penggunaan sistem pacuan empat roda konvensional dengan pek bateri dipasang di bahagian belakang rangka.
Chery menyasarkan keupayaan muatan satu tan serta kapasiti tunda sehingga 3.5 tan, angka penting bagi pasaran Australia yang terkenal dengan budaya penggunaan ute.

Syarikat itu turut mendakwa tahap getaran 30 peratus lebih rendah dan penggunaan bahan api 10 peratus lebih jimat ketika pemanduan lebuh raya.
Bagaimanapun, model ini bakal berdepan saingan sengit dalam segmen yang sudah dihuni pemain seperti BYD Shark 6 dan GWM Cannon Alpha Hi4.
Chery berharap kombinasi enjin diesel dan sistem plug-in hibrid mampu menjadi kelebihan unik untuk menarik pembeli. Menjelang 2027, satu lagi varian PHEV berasaskan enjin petrol turut dirancang untuk pasaran sama.
- BACA: IMPORT BESAR-BESARAN PIKAP CBU: INDUSTRI AUTOMOTIF INDONESIA TERJEJAS!
- BACA: JUALAN KERETA DI MALAYSIA DIJANGKA KEKAL LEBIH 800,000 UNIT TAHUN INI
- BACA: “KALAU NAK IKUT SELERA, TOYOTA CUMA JUAL GR COROLLA DAN GR YARIS” – AKIO TOYODA
- BACA: PEMILIK DISAMAN GARA-GARA PENCURI KERETA TIDAK PAKAI TALI PINGGANG KELEDAR









