Buletin

BYD HAN DM-i PHEV. TAWAR PENJIMATAN 0.8 LITER BAGI SETIAP 100KM!

Model plug-in hybrid (PHEV) sebenarnya semakin popular di China. Maka, tidak hairanlah jika semua pengeluar kenderaan berlumba-lumba untuk menghasilkan PHEV terbaik bagi menarik minat pembeli.

PHEV menjadi pilihan buat mereka yang tidak mahu berdepan dengan masalah kebimbangan jarak (range anxiety) apabila memandu sebuah kereta elektrik. Sedar terhadap keperluan itu, BYD dilapor telah menambah baik sistem DM-i untuk memberi kecekapan penggunaan bahan api yang luar biasa.

Terimalah sedan BYD Han DM-i PHEV. Sekali pandang, ia sedikit berbeza dengan model EV keluaran BYD. Namun, media di China mendakwa prototaip ini tidak akan jauh berbeza dengan model produksi nanti.

Bagi memberi aliran udara lebih baik pada bahagian enjin, BYD memasang gril lebih besar pada bahagian hadapan jentera itu. Selain daripada itu, rekaan keseluruhannya tidak jauh berbeza denga model EV BYD Han.  

Namun, apa yang paling menarik perhatian ialah tahap penggunaan bahan apinya. BYD mendakwa, jika menggunakan mode hibrid, sedan itu mampu mencatat penggunaan petrol cuma 0.8 liter bagi setiap 100km!

Angka itu sangat mengagumkan sekiranya dibandingkan dengan mana-mana kereta, apatah lagi sedan bersaiz besar sebegini.

Han DM-i digerakkan oleh enjin 1.5 liter turbo 137hp yang dipadankan bersama motor elektrik berkuasa 145kW. Satu tangki penuh membolehkannya bergerak sejauh lebih 1,000km tanpa sebarang masalah.

Walaupun kapasiti bateri tidak didedahkan, BYD didakwa menggunakan bateri jenis Blade dengan dua kapasiti penggunaan bahan api iaitu 0.8L/100km dan 1.4L/100km.

Han DM-i dijangka ditawarkan pada harga bermula 220,000 RMB (RM144,500). Dengan harga yang murah dan penjimatan luar biasa, ia pasti mendapat sambutan hangat apabila dilancarkan kelak.

Google ads
Back to top button