
CATL PERKENALKAN CASIS BEDROCK BAHARU – TAHAN IMPAK 120KM/J, TANPA TERBAKAR
CATL secara rasmi memperkenalkan casis baharu dikenali sebagai Bedrock atau “panshi” dalam bahasa cina yang bermaksud “batuan dasar”, dihasilkan dengan konsep papan selaju (skateboard).
Pengumuman ini turut mendedahkan bahawa jenama Avatr akan menjadi yang pertama menggunakan teknologi ini, mencerminkan kerjasama erat antara kedua-dua pihak.
Keupayaan dan Ciri Utama Casis Bedrock
Casis ini menawarkan jarak pemanduan lebih daripada 1,000 kilometer, menjadikannya sebuah platform inovatif untuk kenderaan elektrik. Bedrock dilabelkan sebagai edisi utama CIIC yang sangat selamat.
Untuk memastikan keselamatan, CATL memberi tumpuan pada tiga komponen utama casis: struktur, sel bateri, dan sistem voltan tinggi.

Dalam demonstrasi video, sebuah kereta ujian melanggar dinding pada kelajuan 120 km/j—lebih daripada dua kali ganda kelajuan ujian perlanggaran semasa C-NCAP, iaitu 56 km/j.
Hasilnya menunjukkan bahawa ruang penumpang kekal hampir tidak terjejas, tanpa kebakaran atau letupan berlaku.
Casis Bedrock direka dengan integrasi badan kereta dan bateri, menggunakan teknologi penyerapan tenaga untuk mengurangkan risiko kecederaan serius semasa perlanggaran.
Bahan seperti keluli hot-stamping 2000Mpa dan aloi aluminium 600Mpa digunakan untuk meningkatkan keteguhan struktur.
Sel bateri dioptimumkan dengan filem penebat berketahanan tinggi untuk mencegah pelarian haba, dan jika ia berlaku, gas panas akan dilepaskan dari bahagian bawah untuk mengurangkan suhu komponen lain.

Sistem voltan tinggi casis juga dilengkapi mekanisme keselamatan, di mana litar diputuskan dalam 0.01 saat dan tenaga voltan tinggi yang tinggal dilepaskan dalam 0.2 saat untuk mengelakkan risiko kebakaran.
Integrasi Teknologi Terkini
Casis Bedrock menyepadukan sistem kuasa utama, brek ‘brake-by-wire’, stereng, suspensi, dan modul elektrik ke dalam satu platform.
Selain itu, ia menyokong sistem panduan pemanduan tahap 3 hingga tahap 4, dengan keupayaan jarak pemanduan melebihi 1,000 kilometer.
Reka bentuk casis ini juga mempercepatkan tempoh pembangunan model baharu. Dengan casis ini, model kenderaan baharu boleh dihasilkan dalam tempoh 12 hingga 18 bulan.
Bukan itu sahaja, reka bentuk “berpusatkan bateri” membolehkan integrasi teknologi bateri CTC (cell-to-chassis) generasi keempat CATL, yang meningkatkan keteguhan struktur sambil mengurangkan berat dan ruang bateri.
Avatr: Jenama Pertama yang Menggunakan Teknologi Bedrock
Avatr akan menjadi jenama pertama yang menggunakan casis Bedrock ini. Model baharu dari Avatr, dikenali sebagai N Plus, dijangka menggunakan teknologi Bedrock bersama teknologi pengurusan tenaga dan keupayaan pintar.
Menurut laporan, kereta ini dirancang untuk dilancarkan pada separuh kedua tahun 2025.
Namun, perlu diingat bahawa ini bukan kali pertama CATL memperkenalkan teknologi casis skateboard.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa versi 800V casis CATL akan digunakan pada model Neta S Wagon. Walau bagaimanapun, pengeluaran model tersebut tertangguh akibat masalah kewangan Neta.
- BACA: LAMBORGHINI PERTAMA DI DUNIA DENGAN ENJIN HONDA – KAHWIN CAMPUR ITU INDAH
- BACA: KOVE 600 LANCER PESAING BAHARU SEGMEN CRUISER – ENJIN V-TWIN, 60.3HP
- BACA: LEXUS LC500 2025, PENDAKAP LANTAI BAHARU, ALCANTARA, 3.5L V6, 5.0L V8
- BACA: LAKU DI EROPAH, TOYOTA C-HR HAMPIRI 1 JUTA! MODEL YANG MENGUBAH TANGGAPAN TOYOTA DI EROPAH





