CHERY DULU BUKANLAH CHERY YANG SEKARANG. PREBIU 5 MODEL BAKAL MASUK MALAYSIA
Chery dilihat semakin hampir untuk membuat penampilan semula ke pasaran Malaysia apabila mengadakan satu sesi media prebiu produk terkininya di Setia Alam Convention Centre baru-baru ini.
Sesi prebiu itu melibatkan lima model menarik Chery iaitu OMODA 5, Tiggo 4 Pro, Tiggo 7 Pro, Tiggo 8 Pro dan Tiggo 8 Pro PHEV.
“Ini merupakan acara fizikal pertama Chery di Malaysia di bawah pasukan baharu. Selain menjadi penampilan rasmi pertama bagi model generasi semasa kami di Malaysia.
“Acara ini akan mengukuhkan penyelidikan pasaran yang telah dilakukan dan membolehkan kami mengumpul maklum balas pengguna yang menyeluruh melalui tinjauan dengan kehadiran produk sebenar.
“Maklum balas ini akan membantu kami menyempurnakan strategi produk dan jenama Chery. Di samping menilai kesesuaian setiap model ini untuk pasaran Malaysia,” kata Pengarah Negara Chery Malaysia, Leo Chen.
Acara selama dua hari itu menyaksikan lebih 100 peserta menjadi rakyat Malaysia pertama untuk memandu dan melihat secara dekat model terbaharu Chery.
SUV daripada sub jemana Chery, OMODA 5 nyata menarik perhatian ramai dengan bahasa reka bentuk ‘Art in Motion’ yang futuristik dan teknologi pintar. Ini termasuklah Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) dan skrin berkembar yang besar.
Ahli terbesar siri Tiggo Pro, Tiggo 8 Pro, disasarkan kepada para usahawan dan profesional melalui gabungan teknologi, sentuhan premium serta versatiliti tujuh tempat duduk.
Tiggo 7 Pro pula menawarkan keseimbangan antara gaya SUV urban dan ciri mewah, termasuk tiga skrin berdefinisi tinggi yang penuh dengan teknologi terkini. Sementara Tiggo 4 Pro pula disasarkan kepada golongan muda dengan gabungan unik teknologi dan keselesaan.
Tiggo 8 Pro PHEV pula mewakili teknologi terbaharu Chery dalam dunia kenderaan tenaga baharu. Enjin petrol digabungkan bersama Dedicated Hybrid Transmission (DHT) yang menampilkan dua unit motor elektrik.
Jentera itu menawarkan sembilan mod operasi termasuk operasi series dan parallel, sekali gus menjadikan yang pertama seumpamanya dalam kalangan jenama automotif China.
“Sebagai salah satu ekonomi terbesar di ASEAN dan dengan pasaran automotif yang maju, Malaysia ialah pasaran yang sangat strategik dalam rancangan globalisasi Chery.
“Selaku pengeksport kenderaan penumpang No 1 di China selama 19 tahun berturut-turut dengan jualan di lebih 80 negara dan kepercayaan lebih 10 juta pengguna di seluruh dunia, kami yakin mampu menyumbang secara positif ke atas industri automotif Malaysia dan terus memacu pembangunannya,” kata Chen.
- BACA: CHERY BUKA TEMPAHAN OMODA 5 DI CHINA. 7 VARIAN, 4 MODE PEMANDUAN
- BACA: BAKAL TIBA DI MALAYSIA, CHERY LANCAR TIGGO 8 PRO DI AFRIKA SELATAN DAHULU. TAWAR JAMINAN SEHINGGA 1 JUTA KM!
- BACA: CHERY SAH LANCAR OMODA 5 DI MALAYSIA. ENJIN 1.6L TURBO, 197PS. BERAPA HARGA NI?
- BACA: ALKISAH CHERY TIGGO
GALERI