Buletin

CHERY SAH LANCAR OMODA 5 DI MALAYSIA. ENJIN 1.6L TURBO, 197PS. BERAPA HARGA NI?

Anda masih ingat dengan jenama kereta dari China, Chery? Ya, nampaknya jenama itu akan kembali ke Malaysia tidak lama lagi. 

Ini kerana Chery malaysia baru-baru ini mengesahkan bahawa ia bakal melancarkan model Omoda 5 ke pasaran tempatan tidak lama lagi. SUV segmen B itu dilihat akan bersaing secara langsung dengan model-model popular lain seperti Proton X50, Honda HR-V, Hyundai Kona dan Toyota Corolla Cross. 

Malaysia merupakan antara pasaran luar yang terawal menerima Omoda 5 di rantau ini. Sekali pandang, kualiti dan reka bentuk dalaman serta luaran Omoda 5 memang jauh langit bumi dengan jentera yang pernah ditawarkan oleh Chery suatu masa lalu. 

Mula diperkenalkan pada acara Guangzhao Auto Show 2021, SUV berkenaan tampil menyerlahkan dengan rekaan lampu DRL LED nipis dan gril besar yang kompleks. Lampu utama LED dengan teknologi matrix pula diposisikan secara menegak bersama kemasan hitam pada bahagian bawah bamparnya. 

Bahagian sisi pula diserlahkan dengan rim berwarna hitam, tiang digelapkan untuk memberi efek bumbung terapung dan garis badan yang ringkas. Lampu belakang bersegi tajam itu pula mengingatkan kita kepada model SUV Lexus. 

Tidak ketinggalan spoiler, cermin belakang yang agak kecil dan sepasang ekzos berbentuk empat segi dan skid plate untuk gayaan lebih sporty. 

Omoda 5 dikuasakan oleh enjin 1.6 liter TGDI turbo yang mampu menjana 197PS dan tork 290Nm. Kuasa itu disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan automatik. Chery dijadual memperkenalkan varian hibrid dan EV pada masa akan datang. 

Dari segi dalaman, ia dipasang dengan paparan digital bersaiz 12.3 inci yang bersambung dengan skrin infohibur. Berkemungkinan besar sistem tersebut hadir dengan ciri ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Stereng yang rata pada bahagian bawah itu dibalut kulit dan hadir bersama butang kawalan audio, telefon dan sebagainya. 

Bagi pasaran China, Omoda 5 dijangka dijual pada harga bermula RMB110,000 (RM73,000) hingga RMB 150,000 (RM99,000) seunit. Jadi anda rasa, berapakah harganya apabila dilancarkan di Malaysia nanti?  

GALERI

Google ads
Back to top button