Buletin

BAKAL TIBA DI MALAYSIA, CHERY LANCAR TIGGO 8 PRO DI AFRIKA SELATAN DAHULU. TAWAR JAMINAN SEHINGGA 1 JUTA KM! 

Chery baru-baru ini melancarkan Tiggo 8 Pro di Afrika Selatan. SUV tujuh tempat duduk tersebut ditawarkan dalam varian Distinctive dan Executive.

Afrika Selatan merupakan negara pertama di benua Afrika yang menerima Tiggo 8 Pro, selepas ketibaan model tersebut di pasaran lain seperti Amerika Selatan, Rusia dan Asia Barat. 

“Dalam merancang pelancaran Tiggo 8 Pro di Afrika Selatan, kami menggambarkan analogi First-Class travel, di mana setiap keperluan anda diutamakan tanpa kos tersembunyi dan kemewahan menjadi kepastian. Kami ingin mencipta pengalaman ini kepada pelanggan Tiggo 8 Pro. 

“Daripada reka bentuk ke tempat duduk, prestasi dan sudah tentu, kemewahan. Kami menjemput pelanggan untuk menikmati First Class mereka,” kata Timbalan Pengurus Besar Eksekutif Chery Afrika Selatan, Tony Liu.

Tiggo 8 Pro menampilkan bahasa rekaan “Movement Design”, iaitu etos reka bentuk Chery generasi baharu. Gril tiga dimensi yang diilhamkan oleh galaksi, lampu hadapan LED matriks automatik dan lampu nyalaan siang (DRL) berkembar dipasang pada semua varian untuk memberi penampilan yang mantap.

Kemasan krom satin menghiasi corong kemasukan udara salur yang turut berfungsi sebagai plat gelincir. Selain lampu kabus, gril, tingkap dan bahagian bawah pintu. Terdapat juga rel bumbung krom yang mampu menanggung beban, rim aloi hitam dan krom bersaiz 18 inci serta bumbung matahari panoramik (varian Executive sahaja).

Di ruang kabin, semua fungsi kenderaan dikawal melalui tiga skrin – panel meter 12.3 inci, skrin kawalan iklim 8 inci dan skrin infohibur terapung bersaiz 10.25 inci yang menawarkan ketersambungan Apple CarPlay, Android Auto serta kamera undur.

Sistem kawalan iklim automatik dwi-zon dilengkapi dengan sistem penapis udara gred N95 hadir pada semua varian. Varian Executive pula ditambah dengan sistem pendingin hawa untuk tempat duduk baris ketiga. 

Semua varian didatangkan dengan ciri pengecasan tanpa wayar, kawalan suara pintar dan lapan pembesar suara keliling SONY.

Tempat duduk dibalut kulit dengan corak jahitan berbentuk berlian pada varian Executive. Pemandu boleh melaraskan tempat duduk secara elektrik enam hala dan memori. Manakala  tempat duduk penumpang hadapan pada varian Executive boleh dilaras empat hala dengan lumbar secara elektrik. 

Ciri-ciri dalaman lain termasuklah tempat duduk belakang yang boleh dilipat 60:40, port USB dan 12V serta pencahayaan ambien.

Dari segi keselamatan, ia terdiri daripada enam beg udara, Traction Control (TCS), Roll Stability Control (RSC) dan ISOFIX. Varian Executive ditambah dengan ciri Lane Departure Warning (LDW), Automatic Cruise Control,

Automatic Emergency Braking (AEB), Traffic Sign Recognition (TSC), Intelligent High-beam Control (IHC), Blind Spot Monitoring (BSD), Front Collision Warning (FCW) dan Emergency Brake Override System (BOW).

Turut terdapat pada semua varian adalah Rear Park Distance Control (PDC) yang merangkumi kamera undur dengan panduan dinamik dan pandangan 360 darjah, penutupan tingkap kawalan jauh, pemantauan tekanan tayar, Hill Assist, Downhill Ascent Control serta sistem kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci.

Tiggo 8 Pro dikuasakan oleh enjin pancitan terus turbo 1.6 liter yang diiktiraf dalam pertandingan enjin China Heart kerana kecekapan tenaganya. Enjin itu mampu menjana 197PS pada 5,500rpm dan tork 290Nm pada 2,000 hingga 4,400rpm. 

Dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, pemandu boleh memilih mode pemanduan sama ada Standard, Eco dan Sport, selain mod stereng Eco dan Sport.

Mengikuti jejak langkah Tiggo 4 Pro, Tiggo 8 Pro didatangkan dengan waranti enjin komprehensif selama 10 tahun atau perbatuan 1,000,000km di Afrika Selatan untuk pemilik asal.

Waranti kenderaan lima tahun/150,000km, bantuan kecemasan tepi jalan selama lima tahun serta pakej servis komprehensif lima tahun/60,000 km turut ditawarkan.

Tiggo 8 Pro merupakan antara model Chery yang bakal dilancarkan di Malaysia.

GALERI

Google ads
Back to top button