Buletin

LAPANGAN TERBANG ANAPA DI RUSIA TAWAR PAKEJ ‘I WANNA FLY’. RASAI PENGALAMAN SEBENAR BERADA DALAM PESAWAT, TANPA PERGI KE MANA-MANA

Pada mulanya ia kedengaran agak tak masuk akal, tetapi dalam memahami situasi rakyat Rusia yang tidak mendapat kebebasan terbang sejak berlakunya pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, tawaran pakej ‘I Wanna Fly’ oleh Lapangan Terbang Anapa setidak-tidaknya mengubat sedikit kerinduan untuk berada di dalam pesawat.

Butiran pakej di Lapangan Terbang Anapa, yang dipanggil ‘I Wanna Fly’, diterbitkan oleh akhbar bebas Rusia, The Insider. Anapa terletak berhampiran sempadan antara Rusia dan semenanjung Crimea Ukraine, yang telah diduduki oleh Rusia sejak 2014.

Walau bagaimanapun, Lapangan Terbang Anapa masih belum memberi sebarang komen mengenai pakej tersebut kepada Insider.

‘I Wanna Fly’ menawarkan prosedur pra-penerbangan, untuk pelanggan merasai pengalaman menaiki pesawat termasuk prosedur daftar masuk, keselamatan, menunggu di pintu pagar dan menaiki pesawat yang tidak pergi ke mana-mana.

Untuk pelanggan yang berminat dengan ‘I Wanna Fly’ ini, bayaran dikenakan adalah AS$24 (RM113). Pelanggan juga dibenarkan melawat ke bahagian kokpit serta dihidangkan makanan dalam penerbangan.

Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Rusia menggantung semua penerbangan gara-gara pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari, menyaksikan banyak destinasi tetap tidak dapat diakses apabila berpuluh-puluh negara menutup ruang udara mereka kepada pesawat Rusia.

Pakej seperti ‘I Wanna Fly’ bukanlah yang pertama kerana ketika pandemik COVID-19 mula melanda, beberapa syarikat penerbangan turut menawarkan pakej serupa kepada pelanggan.

Google ads
Back to top button