
CHERY PENAJA RASMI PIALA LEE CHONG WEI – MISI CUNGKIL BAKAT BARU, TAWAR HADIAH RM100K
Ikon badminton negara, Dato’ Seri (Dr.) Lee Chong Wei, kini menumpukan usaha untuk Piala Lee Chong Wei (LCWC), yang akan berlangsung buat pertama kali tahun ini.
Kerjasama bersama Chery Malaysia, pengeluar kereta terkemuka dari China, menjadikan mereka penaja rasmi bagi kejohanan ini.
Menurut beliau, inisiatif ini bertujuan untuk memupuk bakat muda, menggalakkan gaya hidup sihat, serta memberi inspirasi kepada golongan muda untuk mengejar impian mereka melalui sukan.
“Saya berharap Piala Lee Chong Wei dapat membantu membentuk individu yang kuat dan mendorong kanak-kanak dari pelbagai lapisan masyarakat untuk mengambil bahagian dalam sukan. Badminton sentiasa menyatukan rakyat Malaysia, dan saya ingin kejohanan ini menjadi platform bermakna untuk perkembangan pemain muda,” katanya.

Edisi sulung LCWC akan menampilkan tiga kategori umur; Bawah 13, Bawah 15 dan Bawah 17 merangkumi lima kategori: perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran, dengan sasaran 3,200 peserta.
Dijalankan dengan sokongan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kejohanan tahun pertama ini akan berlangsung secara satu-leg sahaja dengan jumlah hadiah keseluruhan RM100,000, antara hadiah paling lumayan di peringkat belia Malaysia.
Lebih menarik, juara berpeluang menjalani percubaan di Academy Badminton Malaysia, membuka laluan untuk pembangunan profesional.
Bagi Chery Malaysia, penyertaan mereka bukan sekadar penajaan tetapi sebahagian daripada komitmen untuk memberi impak positif kepada komuniti dan pembangunan bakat muda.
“Di Chery, kami percaya pada pelaburan terhadap masa depan sukan. Kami sentiasa berhasrat untuk memupuk bakat muda dan menyokong ekosistem di sekeliling mereka.
“Sebagai salah satu jenama automotif antarabangsa yang pesat berkembang di Malaysia, kami bangga menyokong inisiatif yang membentuk masa depan sukan negara,” kata Naib Presiden Chery Malaysia, Lee Wen Hsiang.
Beliau menambah bahawa kejohanan seperti Piala Lee Chong Wei penting untuk mengenal pasti bakat baharu dari usia muda serta menyediakan struktur yang menyokong perkembangan mereka dari segi teknikal dan mental.
Chery Malaysia sebelum ini turut menyokong atlet Olimpik Malaysia di Paris 2024 dan kontinjen negara di Asian Youth Para Games 2025.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, menyambut baik penganjuran ini dan menyifatkannya sebagai pelengkap kepada pembangunan akar umbi sukan negara.









