
CHINA CIPTA BATERI KERETA ELEKTRIK BERASASKAN PLASTIK
Sekumpulan penyelidik di China telah menghasilkan bateri untuk kereta elektrik menggunakan bahan plastik, tanpa bergantung kepada logam berat seperti kobalt atau nikel.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature pada 18 Februari ini diketuai oleh Profesor Xun Yinhua dari Tianjin University dan Profesor Huang Fei dari South China University of Technology.
Bateri inovatif ini menggunakan polimer organik bernama PBFDO sebagai katoda, yang menjadikannya lebih ringan, mudah diperoleh, dan mesra alam kerana tidak memerlukan proses perlombongan logam berat.

Lebih Tahan Cuaca dan Fleksibel
Bateri jenis pouch cell ini berjaya mencapai kepadatan tenaga sekitar (RM 250 Wh/kg), setanding dengan bateri lithium-ion canggih yang kini digunakan pada kereta elektrik.
Menariknya, bateri ini mampu beroperasi dalam julat suhu ekstrem dari −70°C hingga 80°C, menjadikannya sesuai untuk pelbagai iklim.
Menurut laporan ArenaEV, bateri konvensional biasanya sensitif terhadap cuaca; pada suhu sejuk, kapasiti tenaga boleh merosot, manakala pada cuaca panas, risiko keselamatan meningkat.
Keselamatan Lebih Terjamin

Ujian keselamatan turut membuktikan kelebihan bateri PBFDO. Apabila sel bateri ditusuk jarum, tiada asap, kebakaran, atau perubahan bentuk berlaku. Ini mengatasi kebimbangan yang sering dikaitkan dengan bateri lithium-ion tradisional.
Selain itu, struktur polimernya membolehkan bateri dibengkok, ditarik, dan ditekan tanpa rosak.
Para penyelidik berkata, fleksibiliti ini membuka peluang untuk reka bentuk bateri yang lebih kreatif dalam kereta elektrik.
Bateri kini tidak lagi terhad kepada bentuk kaku yang diletakkan di bawah lantai kenderaan, sebaliknya boleh disesuaikan dengan struktur dan reka bentuk kereta itu sendiri.
- BACA: CHERY PENAJA RASMI PIALA LEE CHONG WEI – MISI CUNGKIL BAKAT BARU, TAWAR HADIAH RM100K
- BACA: WARNA BARU, HIBRID 2.0L, LEBIH BERKARAKTER, ANGGARAN HARGA RM120K – INI HONDA ZR-V 2026!
- BACA: CADANGAN PINDA AKTA 333 ATASI ISU KERETA TERBIAR DI PERUMAHAN STRATA
- BACA: KANSAS BATALKAN LESEN MEMANDU TRANSGENDER. WAJIB GUNA JANTINA ASAL







