
WARNA BARU, HIBRID 2.0L, LEBIH BERKARAKTER, ANGGARAN HARGA RM120K – INI HONDA ZR-V 2026!
Honda nampaknya memilih pendekatan selamat untuk model SUV segmen-C mereka di Jepun. Model yang dikenali sebagai Honda ZR-V, kembar kepada Honda HR-V di Amerika Utara – menerima kemas kini sederhana menjelang 2026.
Dari luar, perubahan tidak radikal. Varian Z yang berada di kedudukan tinggi masih mengekalkan gril berbilah menegak yang sinonim dengan imej “bergigi” model ini, sama seperti versi Eropah.
Namun, Honda menambah beberapa pilihan warna segar seperti Twilight Mist Black Pearl, Meteoroid Gray Metallic dan Seabed Blue Pearl, selain rim aloi 18-inci rekaan baharu dengan lima jejari berkembar.

Barisan varian kini terdiri daripada X, Z, Black Style dan tambahan terbaharu, Cross Touring.
Kabin lebih lengkap sebagai standard
Masuk ke dalam, varian Z kini hadir dengan skrin infotainmen 9-inci bersama Google built-in, paparan kluster digital 10.2-inci, sistem audio premium Bose 12 pembesar suara, tempat duduk larasan elektrik dengan fungsi pemanas, balutan kulit, kawalan suhu dua zon serta sistem kamera multi-sudut.
Secara ringkas, tahap spesifikasi dinaikkan tanpa perlu menambah banyak pilihan.

Black Style & Cross Touring tampil lebih berkarakter
Bagi yang mahukan gaya lebih garang, varian Black Style menawarkan gril honeycomb, kemasan Crystal Black Pearl di bahagian luaran serta rim 18-inci warna hitam Berlina. Tema gelap turut diteruskan dalam kabin.
Sementara itu, Cross Touring membawa pendekatan lebih lasak. Ia meminjam rekaan gril dan bukaan bampar ala HR-V spesifikasi Amerika Syarikat, dipadankan dengan skid plate gaya aluminium, pelindung badan tambahan dan rim 18-inci hitam matte.
Warna eksklusif Desert Beige Pearl digandingkan dengan dalaman kulit beige serta jahitan oren untuk kontras yang lebih menyerlah.


Enjin turbo gugur, hibrid ambil alih
Perubahan paling ketara sebenarnya berlaku di bawah bonet. Enjin 1.5 liter turbo petrol kini tidak lagi ditawarkan.
Sebagai ganti, semua varian ZR-V 2026 menggunakan sistem hibrid 2.0 liter e:HEV yang sama seperti pasaran Eropah. Sistem hibrid pengecasan kendiri ini menghasilkan kuasa gabungan 181hp.
Pembeli masih boleh memilih sama ada pacuan roda hadapan (FWD) atau pacuan semua roda (AWD), bergantung kepada keperluan cengkaman dan gaya pemanduan masing-masing.

Harga dijangka naik sedikit
Harga rasmi untuk Jepun akan diumumkan sepenuhnya pada 26 Mac. Namun laporan media tempatan menyebut harga bermula sekitar ¥3,707,000 (RM118,600) bagi varian asas e:HEV X FWD, dan mencecah ¥4,727,800 (RM151,300) untuk e:HEV Z Cross Touring 4WD. Ini mewakili kenaikan kira-kira ¥72,600 (RM2,300) berbanding model sebelumnya.








