
CITROEN AMI. KERETA MIKRO YANG TIDAK PERLUKAN LESEN MEMANDU. AMIK KAU!
Citroën baru-baru ini memperkenalkan kereta mikro elektrikya, Ami hanya selepas 12 bulan melakukan debut pada acara Geneva Motor Show 2019.
Mempunyai dimensi cuma 2.41 meter panjang, 1.39 lebar dan setinggi 1.52 meter, Citroën Ami adalah lebih pendek dan tirus berbanding Smart EQ Fortwo.
Dengan berat hanya 485kg (termasuk pek bateri berkuasa 5.5 kWh), kereta yang berkapasiti dua tempat duduk ini sebenarnya diklasifikasikan sebagai sebuah quadricycle ringan, sama seperti Renault Twizy.

Namun, berbeza dengan Twizy, Ami mempunyai ruang kabin yang tertutup penuh. Dari segi gayaan, quadricycle elektrik ini tidaklah keterlaluan seperti model konsepnya.
Rekaan lampu dua lapis dan pintu tidak simetrikal itu membuatkan susah untuk kita tahu mana depan mana belakang. Pemilik ditawarkan dengan pilihan personalisasi yang terdiri daripada pek aksesori enam warna.
Melihat kepada klasifikasinya, Citroën Ami boleh dipandu tanpa lesen di Kesatuan Eropah oleh mereka yang berusia 16 tahun (14 tahun di Perancis). Saiznya yang begitu kecil menjadikannya sebuah kereta yang praktikal untuk perjalanan dekat di bandar.

Ia juga dilihat sebagai alternatif kepada skuter, basikal, kapcai atau pengangkutan awam.
Dikuasakan oleh motor elektrik berkuasa 8hp, Citroën Ami menawarkan kelajuan sehingga 45km/j. Baterinya mampu memberikan jarak sejauh 70km dengan sekali caj selama tiga jam menggunakan soket konvensional 220v.
Citroën menawarkan Ami menerusi pembelian biasa, sewaan jangka panjang atau perkongsian kereta. Jika berminat ia ditawarkan pada harga €6,000 (RM28,000) termasuk VAT.

Kadar sewaan dengan kontrak selama dua tahun hanya €19.99 (RM93) sebulan. Ia juga sebahagian daripada perkhidmatan perkongsian kereta PSA yang ditawarkan pada harga €9.90 (RM46) sebulan.
Citroën akan mula mengambil tempahan Ami pada 30 Mac di Perancis, sebelum dikembangkan ke pasaran Sepanyol, Itali, Belgium, Portugal dan Jerman. Penyerahan pertama di Perancis dijadual pada Jun depan.