Buletin

CITROEN GRAND C4 SPACETOURER – MPV PREMIUM 7 TEMPAT DUDUK, RM149,888 SEUNIT

Naza Euro Motors Sdn. Bhd., pengedar rasmi kenderaan Citroen di Malaysia baru-baru ini memperkenalkan MPV tujuh tempat duduk terbaharunya, Citroën Grand C4 SpaceTourer.

MPV premium itu merupakan model gantian kepada Grand C4 Picasso. Ia kini tampil dengan reka bentuk luaran yang lebih kontemporari.

Bahagian hadapan diserlahkan dengan sepasang lampu nyalaan siang (DRL) dan utama jenis bi-xenon nipis yang dipadankan bersama gril serta emblem Citroën.

Manakala bahagian belakang pula dipasang dengan sepasang lampu yang diletakkan di dalam empat perumah berasingan. Dari arah sini, rim aloi Boa bersaiz 17 inci menyempurnakan lagi penampilannya.   

Menjengah ke ruang kabin, Grand C4 SpaceTourer hadir dengan kombinasi kemasan premium yang dikenali sebagai ambien Hype Grey. Papan pemuka dihuni oleh paparan HD bersaiz 12 inci, bersama skin sentuh tujuh inci di bawahnya.

Ciri ketersambungan standard termasuklah Android Auto, Apple Carplay, Mirrorlink dan USB. Bukan itu sahaja, MPV ini juga dilengkapi brek elektrik automatik, soket 12V dan meja kecil boleh lipat seperti di dalam kapal terbang.

Sebagai sebuah kenderaan keluarga, MPV itu menawarkan banyak kompartmen di bawah lantai, ruang penyimpanan barang boleh alih dan sebagainya. Tempat duduk baris kedua dan ketiga boleh dilipat untuk memberikan ruang kargo seluas 2,181 liter.

Satu lagi ciri baru ialah pintu belakang bebas tangan yang boleh dioperasi dengan menggerakkan kaki di bawah bamparnya.

Citroën Grand C4 SpaceTourer digerakkan oleh enjin 1.6 Turbo High Pressure yang mampu menjana kuasa mencecah 167PS dan tork puncak sehingga 240Nm pada 1,400rpm.

Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan. Rangkaian kuasa tersebut menawarkan penjimatan bahan api sekitar 5.8 liter/100km.

Dibina di atas Efficient Modular Platform 2 (EMP2), Grand C4 SpaceTourer dipasang dengan pelbagai ciri keselamatan. Antaranya ialah Active Safety Brake, Driver Attention Alert, 6 beg udara, ABS dengan Electronic Brake Force Distribution, Emergency Braking Assistance, Electronic Stability Control, kawalan cengkaman, Hill Start Assist, Interior Child Monitoring Mirror, Driver Attention Alert dan tiga cagak ISOFIX.

Anda boleh memilih daripada empat warna iaitu merah, biru, hitam dan putih. Harganya ialah RM149,888 seunit (tidak termasuk insurans).

Untuk tempoh terhad, Grand C4 SpaceTourer hadir dengan tawaran servis percuma selama lima tahun. Selain jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 120,000km, bantuan tepi japan 24 jam dan akses eksklusif ke Sky Lounge di Subang Skypark.

GALERI

Google ads
"
"
Back to top button