
TOYOTA HILUX C63 AMG AKAN MENCERIAKAN HIDUPMU
Enjin M156 C63 AMG merupakan antara enjin terbaik keluaran syarikat pengeluar kereta tersohor Jerman dan kini siapa sangka enjin ini berjaya dikahwinkan dengan trak pikap lagenda Jepun yang kini menetap di Afrika Selatan.
Enjin NA 6.2L V8 yang dibina hasil kerjasama Mercedes-AMG sudah digunakan sejak sekian lama. Ia pertama kali digunakan pada tahun 2007 untuk CLK63 AMG dengan kuasa maksima 475 hp dan 630 Nm tork. Ia kemudiannya digunakan pada model-model terkemudian seperti CLS63 AMG, E63 AMG, ML63 AMG, C63 AMG,SL63 AMG, S63 AMG dan CL63 AMG. Kuasanya juga mencecah 518 hp bila dipasang pada sesetengah model.
Enjin ini kemudiannya dinaik taraf dan diberi gelaran M159 dan digunakan pada SLS AMG, jentera perlumbaan AMG GT3 dan SLS AMG Black Series dengan kuasa maksima yang dipertingkatkan mencecah 622 hp.

Penampilan kuasa luar biasa dan bunyi yang lemak berkrim memang menjadikan ‘Hailak’ Afrika ini berbeza dan lebih ‘gila’.
Sayangnya nama syarikat yang menjalankan projek ini tidak diketahui tetapi hasilnya memang cukup mengkagumkan. Dari dalam kabin memang jelas kedengaran bunyi deruman C63 AMG tapi bila dilihat dari bahagian luar ia masih kelihatan seperti sebuah trak pikap yang diubahsuai di Thailand.
Tapi bukan itu sahaja kelebihan Hilux ini. Satu lagi keajaiban ialah enjin V8 ini berjaya dikahwinkan dengan kotak gear manual. Setahu kami enjin C63 AMG ini tidak pernah dipadankan dengan kotak gear manual. Hebat bukan? Bukan mudah nak padankan enjin ni dengan kotak gear manual yang sesuai.