Buletin

DIESEL TIDAK LAGI DIJUAL DI SRI LANKA. KRISIS EKONOMI SEMAKIN BURUK

Krisis kekurangan bekalan diesel menyebabkan bahan api tersebut tidak lagi dijual di stesen-stesen minyak di seluruh Sri Lanka, lapor laman berita Thaiger baru-baru ini.

Penjualan minyak petrol masih diteruskan, namun turut menghadapi kekurangan bekalan sehingga memaksa sebilangan pemandu meninggalkan kereta mereka ketika beratur panjang untuk cuba mengisi tangki kenderaan masing-masing.

Pemilik-pemilik syarikat perniagaan swasta berkata, mereka telah kehabisan bahan api malah perkhidmatan utama tidak dapat diteruskan selepas semalam.

Sri Lanka turut bergelut dengan catuan bekalan elektrik selama 13 jam sekali gus tempoh paling lama yang direkodkan di negara itu. Syarikat pembekal tenaga elektrik tempatan memberitahu, pihaknya terpaksa melaksanakan pemotongan bekalan elektrik bermula kelmarin kerana  tidak mempunyai diesel untuk menghidupkan jana kuasa elektrik.

Kebanyakan hospital kerajaan telah menangguhkan operasi pembedahan kerana kehabisan ubat-ubatan. Perkembangan itu tidak termasuk kekurangan barang keperluan serta lonjakan harga barangan  disebabkan larangan import meluas yang dikenakan pada 2020 kerana bebanan hutang negara.

Seorang pengerusi lembaga elektrik memberitahu agensi berita AFP bahawa takungan di sebuah empangan hidroelektrik yang menyediakan lebih satu pertiga tenaga elektrik di Sri Lanka berada di paras yang sangat rendah.

Gangguan-gangguan yang berlaku itu mencetuskan protes di seluruh Sri Lanka dengan beratus-ratus pemandu bertindak menghalang jalan-jalan utama di beberapa buah bandar di negara itu.

Pengerusi persatuan pengusaha bas swasta di Sri Lanka memberitahu AFP bahawa bas tidak akan dapat beroperasi jika mereka tidak mendapat bekalan diesel dalam masa terdekat. – Agensi

Google ads
Back to top button