" "
Buletin

HYUNDAI STARIA 2022 KINI DI MALAYSIA. MPV MEWAH 7 TEMPAT DUDUK, TURBO DIESEL CRDi, BERMULA RM358,888

Hyundai-Sime Darby Malaysia (HSDM) hari ini melancarkan model MPV mewah terbaharunya, Hyundai Staria 2022 ke pasaran tempatan secara rasmi menerusi satu majlis di laman Facebook.

MPV dengan kapasiti tujuh tempat duduk itu disasarkan untuk bersaing dengan MPV premium lain yang ada di pasaran terutama Toyota Alphard dan Vellfire. 

Walaupun pasaran luar hadir dengan beberapa varian dengan enjin serta konfigurasi kapasiti tempat duduk berbeza, HSDM hanya akan menawarkan Staria dalam satu varian Premium sahaja. Tempat duduk 10 dan 11 orang buat masa sekarang belum dapat ditawarkan kerana tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa. 

Hyundai Staria dijana oleh enjin 2.2 liter diesel turbo CRDi yang mampu menjana 177 PS dan tork 431Nm. Enjin yang sama dengan yang dipasang pada SUV Santa Fe itu kemudian dipadankan bersama transmisi automatik dan sistem pacuan roda belakang. Untuk makluman, Starex menggunakan sistem pacuan roda belakang.

Harus tahu bahawa Staria bukanlah pengganti MPV 11 tempat duduk Starex. Sebaliknya, Starex akan terus dijual dengan sasaran pelanggan yang berbeza.  

Seperti yang boleh anda lihat, MPV itu tampil dengan rekaan yang futuristik. Hyundai mengaku bahawa bahasa rekaan Staria diinspirasikan daripada kapal angkasa lepas yang terbang di sebalik bintang di langit. Rekaan tersebut dapat dilihat dengan jelas pada bahagian hadapan dan tingkap sisi yang besar. 

Bahagian hadapan diserlahkan menerusi penggunaan lampu utama LED pada bampar. Manakala lampu DRL dan positioning light nipis melintang dari kiri ke kanan. Bahagian belakang pula nampak cukup menarik dengan lampu LED Parametric Pixel yang sama seperti model Ioniq 5. 

Dari segi dimensi, Staria sepanjang 5,253mm, lebar 1,997mm dan tinggi 1,990mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,273 mm. Dimensi itu membolehkan bahagian belakang menyediakan ruang kargo seluas 5,000 liter. 

Masuk ke ruang kabin, Hyundai Staria membawakan skrin paparan digital 10.25 inci di hadapan pemandu. Skrin infotainmen pula sedikit kecil iaitu lapan inci, namun ia tetap dapat menyokong ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, slot USB, sistem audio premium Bose, serta sistem pencahayaan ambien. 

Sebagai sebuah MPV mewah untuk boss, tempat duduk baris kedua ‘Premium Relaxation Seats’ jenis captain seat itu boleh dibaringkan secara elektrik sehingga 120 darjah. Bagi keselesaan semua, corong pendingin hawa baris kedua dan ketiga diletakkan pada bahagian siling lengkap dengan unit kawalan zon tunggal secara berasingan.  

Staria juga turut menyediakan beberapa slot pengecasan di bahagian hadapan, baris kedua dan ketiga, serta slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar pada bahagian papan pemuka. Tidak ketinggalan, tempat menyimpan barang yang begitu banyak di seluruh kabin. 

Selepas mengikuti pandu uji ringkas semalam, saya boleh katakan bahawa ruang tempat duduk baris kedua dan ketiga sangat luas serta selesa untuk perjalanan jauh 

Ciri keselamatan yang dipasang termasuklah enam beg udara, bantuan mengelak pelanggaran depan, titik buta dan lintasan trafik belakang, bantuan pengekalan laluan (LKA), bantuan mengikut laluan (LFA),  kamera keliling, kawalan jelajah pintar, bantuan suluhan tinggi, bantuan keluar selamat, amaran tumpuan pemandu, amaran penumpang belakang, serta sistem pemantauan tekanan tayar.

Hyundai Staria 2022 merupakan unit CBU yang diimport dari Korea Selatan. MPV futuristik ini boleh anda miliki pada harga RM358,888 seunit. Jika anda memilih versi dengan jaminan tambahan lima tahun lagi, harganya ialah RM368,888. 

GALERI

Google ads
Back to top button