
DIESEL TURUN KE RM 2.1 SELITER, GUNA MYKAD
Kerajaan dijangka melaksanakan mekanisme baharu pemberian subsidi diesel menggunakan MyKad bermula Julai 2026 sebagai sebahagian daripada usaha memastikan hanya rakyat Malaysia yang layak menikmati bahan api bersubsidi.
Menerusi pelaksanaan tersebut, individu yang layak akan dapat membeli diesel pada harga bersubsidi RM2.10 seliter, berbanding kadar RM2.15 seliter sebelum ini. Pada masa sama, bukan warganegara serta individu yang tidak memenuhi syarat kelayakan perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi.
Pendekatan menggunakan MyKad ini dilihat selari dengan konsep penyasaran subsidi yang turut digunakan dalam pelaksanaan BUDI95 bagi petrol RON95. Langkah berkenaan bertujuan memperkemaskan agihan subsidi di samping mengurangkan ketirisan dan penyalahgunaan oleh pihak yang tidak sepatutnya.
Sebelum ini, kerajaan telah memperkenalkan dua mekanisme utama bagi penyaluran subsidi diesel iaitu Program BUDI Diesel yang menawarkan bantuan tunai kepada pemilik kenderaan diesel individu yang layak, petani serta pekebun kecil, selain Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang menggunakan kad armada untuk sektor logistik dan pengangkutan awam.
Pelaksanaan sistem baharu menggunakan MyKad juga dijangka membantu membendung aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi serta memastikan peruntukan kerajaan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Di Sabah dan Sarawak, harga diesel yang kini berada pada paras RM2.15 seliter turut akan diselaraskan kepada RM2.10 seliter untuk rakyat Malaysia yang layak, manakala warga asing tidak lagi akan menikmati subsidi tersebut.
Maklumat lanjut mengenai kaedah pelaksanaan serta mekanisme penggunaan MyKad dijangka diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam masa terdekat.








