Buletin

KIA CARNIVAL 2022. 11 TEMPAT DUDUK, ENJIN TURBO DIESEL 2.2 LITER. BERMULA RM196K

Selepas dibuka untuk tempahan, Dinamikjaya Motors baru-baru ini melancarkan Kia Carnival serba baharu ke pasaran tempatan. 

Model generasi keempat itu ditawarkan pada harga bermula RM196,340 seunit dan hadir dalam satu varian sahaja dengan kapasiti 11 tempat duduk. 

Jika dilihat dari segi penampilan luaran dan dalamannya, model baharu itu jelas lebih menarik serta canggih berbanding versi terdahulu. MPV tersebut dibangunkan di atas platform N3 yang lebih senyap, kukuh dan ringan. 

Carnival 2022 dijana oleh enjin diesel 2.2 liter CRDi Smartstream berkuasa 199hp dan tork 440Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik E-Shift lapan kelajuan. 

Bahagian hadapan diserlahkan dengan gril radiator bersama kemasan krom yang menjadi rekaan signatur model moden Kia. Wajahnya turut dilengkapi sepasang lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang (DRL) LED,  lampu kabus LED serta logo baharu Kia.

Jentera berkenaan dipasang dengan rim aloi bersaiz 18 inci. Bahagian belakang pula nampak moden dengan rekaan lampu kombinasi nipis yang melintang, sepasang reflektor dan kemasan krom pada bahagian bawah bampar. 

Ruang kabin dimewahkan dengan uplhosteri kulit berwarna coklat. Papan pemuka dihuni oleh skrin sistem infohibur bersaiz 12.3 inci bersama ciri Apple CarPlay dan Android Auto, kamera 360 darjah, brek parkir elektronik, skrin TFT untuk kluster instrumen 4.2 inci, paddle shifter, pendingin hawa dua zon di hadapan dan corong pendingin hawa untuk penumpang belakang. 

Tidak ketinggalan, pad pengecas tanpa wayar, ketersambungan multi-Bluetooth dan tujuh port USB.  

Sebagai sebuah kenderaan keluarga, Carnival sarat dengan sistem keselamatan termaju Kia. Ini termasuklah enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan brek, Traction Control System (TCS), Multi-Collision Brake Control (MCB), cagak ISOFIX, Hill-start Assist Control (HAC), Blind-Spot Collision Warning (BCW) dan Rear Cross-Traffic Collision Avoidance Assist (RCCA).

Didatangkan dalam bentuk CBU dari Korea, Carnival ditawarkan dalam enam warna menarik iaitu biru, perak, hitam, putih, merah dan kelabu. 

GALERI

Google ads
Back to top button