Buletin

KERETA SINGAPURA ISI RON95, KPDNHEP AKAN BUAT PENGUATKUASAAN LEBIH AGRESIF

Isu berkaitan kenderaan dengan plat pendaftaran Singapura yang tular kerana mengisi minyak petrol RON95 kini disiasat Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihak kementerian mengambil maklum mengenai tentang gambar tular tersebut dan telah mengarahkan agar ia disiasat serta-merta.

“Saya juga telah mengarahkan pemantauan yang lebih agresif dijalankan di semua stesen minyak, terutama yang berdekatan dengan negeri bersempadan bagi mengelakkan ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing,” katanya dalam satu kenyataan.

Kementerian itu juga melancarkan Ops Pantau 2022 hari ini bagi melaksanakan aktiviti penguatkuasaan yang lebih agresif.

Sedia maklum bahawa petrol RON95 adalah bahan kawalan sebab diberi subsidi yang tinggi. Jadi tindakan menjualnya kepada warga asing adalah melanggar Akta Kawalan Bekalan kerajaan.

Ketika ini, petrol RON95 di Malaysia dijual pada harga RM2.05 seliter. Ia merupakan harga yang ke-11 paling rendah di dunia, malah lebih murah berbanding beberapa buahnegara pengeluar minyak besar serta negara teluk seperti Arab Saudi, Qatar, Bahrain, UAE, Jordan dan Oman.

RON97 yang dibenarkan dijual kepada warga asing dijual pada harga RM3.91 satu liter di Malaysia. Masih jauh lebih murah berbanding harga S$3.02 (RM9.37) bagi RON95 dan S$3.51 (RM10.90) bagi RON97 di Singapura kerana petrol dikenakan cukai yang tinggi di sana. 

Alexander berkata, selain memastikan bekalan barangan mencukupi dan dijual pada harga munasabah, Ops Pantau turut akan memastikan pematuhan yang tinggi oleh para peniaga berikutan pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi dan pintu sempadan negara yang bermula 1 April 2022.

“KPDNHEP dari semasa ke semasa telah mengeluarkan arahan kepada semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak yang bersempadan dengan Singapura bagi memastikan pematuhan larangan penjualan petrol RON 95 kepada semua kenderaan termasuklah motosikal yang bernombor pendaftaran asing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button