
DONGFENG 007 RASMI MASUK MALAYSIA – DUA VARIAN, JARAK GERAK HINGGA 650KM, HARGA BERMULA RM161K
Dongfeng Cars Malaysia secara rasmi melancarkan model elektrik terbaharu mereka, Dongfeng 007, hadir dalam dua varian iaitu Premium dan Prime.
Sebagai sebuah model segmen D dengan imej prestasi tinggi, Dongfeng 007 hadir dengan rekaan badan yang panjang, rendah dan aerodinamik.
Ia berukuran 4,880mm panjang, 1,895mm lebar, serta jarak roda 2,915mm, menyerlahkan profil sportback moden yang agresif. Sentuhan seperti rim dua tona bersaiz besar serta angkup brek merah turut menambah aura sporty.

Di bahagian hadapan, lampu utama rekaan berasingan memberi identiti tersendiri, manakala lampu belakang jalur penuh melintang mengukuhkan gaya futuristik.
Dongfeng 007 hadir dalam empat pilihan warna;
- Obsidian Black
- Eclipse Grey
- Celestial White
- Starlit Silver
Masuk ke ruang kabin, Dongfeng 007 membawa pendekatan tipikal EV moden dari China dengan susun atur minimalis tetapi sarat teknologi.
Ia dilengkapi paparan meter digital 8.8-inci, digandingkan dengan skrin infotainmen utama bersaiz 15.6-inci. Sistem ini turut menyokong sambungan pintar seperti Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar.
Antara ciri menarik lain termasuk sistem audio 19 pembesar suara Wanos dengan pembesar suara pada perehat kepala, kamera pandangan sekeliling 540 darjah, konsol tengah dua lapisan lengkap dengan pad pengecas tanpa wayar, port USB dan ruang simpanan praktikal.

Keselesaan turut diberi perhatian melalui penggunaan upholsteri kulit vegan, tempat duduk hadapan larasan elektrik dengan fungsi pengudaraan, serta pencahayaan ambien.
Dari segi prestasi, model ini ditawarkan dalam beberapa varian pacuan roda belakang (RWD) dan pacuan semua roda (AWD).
Angka kuasa cukup mengujakan dengan kuasa mencecah 544hp serta tork 620Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 3.9 saat.
Model ini dipadankan dengan bateri 73.48 kWh, menawarkan jarak pemanduan sehingga 650km. Ia menyokong pengecasan pantas sehingga 200kW DC, selain pengecas AC 6.6kW. Fungsi Vehicle-to-Load (V2L) turut disediakan untuk membekalkan kuasa kepada peralatan luar.

Beralih pada harga pula, perincian adalah seperti berikut;
- Dongfeng 007 (Premium): RM169,888
- Dongfeng 007 (Prime): RM195,888
Seiring dengan perasmian, Dongfeng Malaysia menawarkan ‘launch special’, di mana model Dongfeng 007 (premium) ditawarkan pada RM161,000, manakala Dongfeng 007 (Prime) boleh dimiliki pada harga RM187,000.
GALERI:













