Buletin

ZEEKR 7X UJI KEUPAYAAN SEBENAR DALAM ‘BEYOND DRIVE EXPERIENCE’ DI SEPANG

Zeekr Intelligent Technology Malaysia (Zeekr Malaysia) baru-baru ini menganjurkan pengalaman pemanduan eksklusif Zeekr 7X Beyond Drive Experience selama dua hari pada 23 dan 24 Januari 2026 di Sepang Bay 13 Off-Road Ranch.

Program khas itu menghimpunkan pemilik Zeekr 7X serta wakil media, dengan matlamat memberi pendedahan menyeluruh terhadap keupayaan sebenar SUV elektrik premium tersebut dalam pelbagai situasi pemanduan, melangkaui penggunaan harian di bandar.

Sepanjang acara, peserta diberi peluang menguji aspek prestasi, kawalan, keselesaan dan fleksibiliti Zeekr 7X di bawah pengawasan tenaga pengajar profesional yang berpengalaman dalam pemanduan berprestasi tinggi dan laluan lasak.

Pendekatan ini memastikan keselamatan peserta sambil membolehkan mereka meneroka sepenuhnya potensi kenderaan tersebut.

Menurut Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Eddy Lu, Zeekr 7X dibangunkan untuk situasi pemanduan dunia sebenar, bukan sekadar paparan di atas kertas spesifikasi.

“Melalui pengalaman ini, peserta dapat merasai sendiri bagaimana Zeekr 7X beraksi dalam pelbagai persekitaran, termasuk laluan mencabar yang jarang dikaitkan dengan SUV elektrik premium,” katanya.

Antara tarikan utama program ialah ujian pemanduan berstruktur di laluan tidak berturap, yang menampilkan ciri-ciri teknologi utama seperti Zeekr Magic Carpet Suspension, Sistem Kawalan Cengkaman Teragih serta Hill Descent Control.

Semua ciri ini diuji di laluan yang mensimulasikan keadaan permukaan sebenar, sekali gus mempamerkan kestabilan dan keupayaan kawalan kenderaan.

Peserta turut menjalani pemanduan defensif dan dinamik di atas jalan berturap, termasuk laluan slalom bagi menilai ketepatan stereng, keseimbangan casis serta ketangkasan kenderaan. Zon pecutan dan brek pula menonjolkan penghantaran kuasa yang lancar serta kecekapan sistem brek.

Namun, tumpuan utama adalah aktiviti luar jalan, termasuk Off-Road Obstacle Course dan pengalaman Rally Taxi Ride.

Dalam sesi ini, peserta dibawa merentasi laluan off-road berkelajuan tinggi sejauh 1.5 kilometer bersama pemandu rali profesional, dengan kelajuan mencecah sehingga 120 kilometer sejam, sekali gus memperlihatkan tahap cengkaman dan kestabilan Zeekr 7X di permukaan longgar.

Selain itu, peserta juga mengharungi pelbagai halangan seperti cerun sisi, pendakian dan penurunan bukit curam, laluan ‘elephant steps’ serta lintasan air, yang direka untuk menguji respons sistem dan ketenangan kenderaan di permukaan tidak rata.

Laluan Adventure Trail sejauh 1.6 kilometer pula memberi penekanan kepada keselesaan tunggangan walaupun di atas permukaan lasak.

Seorang pemilik Zeekr 7X yang menyertai program tersebut, Rukmanikanthan a/l Shanmugam, menyifatkan pengalaman itu sebagai membuka mata terhadap kemampuan sebenar SUV elektrik berkenaan.

“Kami tidak menjangkakan sebuah SUV elektrik mampu mengharungi laluan berair dan cerun mencabar dengan begitu yakin. Lebih mengagumkan, kenderaan ini masih memberikan pemanduan yang lancar selepas semua ujian tersebut,” katanya.

Untuk pasaran tempatan, Zeekr 7X AWD Performance digerakkan oleh sistem dwi-motor yang menghasilkan 646hp dan 710Nm tork, disokong seni bina elektrik 800V serta sistem torque vectoring pintar.

Gabungan teknologi ini membolehkan agihan kuasa yang konsisten serta kawalan stabil, sekali gus mengukuhkan kedudukan Zeekr 7X sebagai SUV elektrik premium dengan keupayaan di luar jangkaan.

Google ads
Back to top button