Buletin

MITSUBISHI XFORCE CKD MULA DIKELUARKAN DI PEKAN, TEMPAHAN DIBUKA MINGGU INI

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mencatat pencapaian penting apabila model terbaharu, Mitsubishi Xforce, akan dilancarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD).

Model SUV segmen-B ini kini secara rasmi memulakan pengeluaran besar-besaran di kilang pemasangan Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) di Pekan, Pahang.

Selari dengan permulaan pengeluaran ini, MMM turut mengesahkan bahawa tempahan untuk Mitsubishi Xforce akan dibuka dalam minggu yang sama.

Pengenalan model baharu ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperluaskan barisan produk, di samping memperkukuh keupayaan pembuatan tempatan.

Bagi menyokong pengeluaran Xforce, beberapa naik taraf telah dilaksanakan di fasiliti Pekan, termasuk pembinaan Sub-Assembly Body Shop baharu serta pemasangan peralatan terkini di bahagian mengecat, pemasangan akhir dan laluan pemeriksaan.

Penambahbaikan ini bertujuan memastikan proses pengeluaran memenuhi piawaian global Mitsubishi Motors.

Menurut MMM, keseluruhan proses pembuatan Xforce di Pekan dilaksanakan berasaskan standard pengeluaran global jenama itu yang dibangunkan hasil kepakaran pembuatan Jepun.

Setiap peringkat, daripada pemasangan badan, proses cat hinggalah pemeriksaan akhir, dikawal dengan prosedur kualiti yang ketat bagi memastikan tahap binaan, ketahanan dan kebolehpercayaan jangka panjang.

Untuk fasa awal, Mitsubishi Motors Malaysia menyasarkan penghantaran kira-kira 800 unit Mitsubishi Xforce menjelang April, selepas semua proses pengesahan kualiti dan kesiapsiagaan pengeluaran selesai.

Dari aspek trenkuasa, Mitsubishi Xforce dikuasakan oleh enjin petrol 1.5 liter Naturally Aspirated 4A91 DOHC MIVEC, sama seperti MPV Xpander.

Enjin ini menghasilkan 105PS pada 6,000rpm dan tork maksimum 141Nm pada 4,000rpm, digandingkan dengan transmisi CVT yang memacu roda hadapan.

Pengeluaran tempatan Mitsubishi Xforce ini sekali gus mengukuhkan komitmen jangka panjang Mitsubishi Motors Malaysia terhadap industri automotif negara.

Google ads
Back to top button