
KINETA RANGKUL ANUGERAH AAA BUAT TAHUN KEDUA
KINETA Malaysia dan Hong Kong sekali lagi mengharumkan nama apabila berjaya merangkul kemenangan buat tahun kedua berturut-turut pada majlis Asia Automotive Awards (AAA) ke-5 yang berlangsung di Bangkok, Thailand, pada 17 Januari 2026.
Syarikat di bawah naungan Kumpulan SIME itu menerima pengiktirafan Automotive Electric Vehicle Charging Infrastructure Award, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam kategori Kelestarian serta Inisiatif Alam Sekitar.
Lebih daripada sekadar pengendali stesen pengecasan, KINETA kini dilihat semakin memainkan peranan penting sebagai penyedia infrastruktur teknikal utama bagi pasaran Malaysia dan Hong Kong, khususnya dalam menyokong perkembangan pesat industri kenderaan elektrik (EV).
Antara pencapaian utama syarikat termasuk kejayaan melepasi angka 14,000 unit pengecas EV terjual serta lebih 10,000 pemasangan profesional, merangkumi penggunaan kediaman sehingga projek komersial berskala besar.
Di Malaysia, KINETA dikenali sebagai jenama dipercayai dan bekerjasama rapat dengan kebanyakan pengeluar EV utama. Manakala di Hong Kong, syarikat itu berada dalam kelompok teratas pengendali pengecas awam dengan lebih 139 ruang pengecasan di seluruh bandar.
Selain bertindak sebagai Charge Point Operator (CPO), KINETA turut menawarkan kepakaran menyeluruh merangkumi perkakasan berkualiti tinggi, pemasangan bertauliah ST serta aplikasi proprietari KINETA Charge, yang disesuaikan untuk pelbagai industri termasuk pengurusan armada korporat.
Menurut Pengarah Urusan KINETA, Sunny Lee, kejayaan ini membuktikan hala tuju strategik syarikat ke arah menjadi penyedia penyelesaian menyeluruh dalam ekosistem EV.
“Dalam industri yang semakin matang, peranan KINETA adalah menyediakan kejuruteraan unggul dan kebolehpercayaan infrastruktur yang diperlukan oleh sektor automotif serta industri lain.
“Kami bukan sekadar sebahagian daripada peralihan ini, malah rakan teknikal yang menjayakannya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemasaran, Lichee Lee Chee How, berkata KINETA berhasrat mentakrif semula pengalaman pengecasan melalui inovasi dan profesionalisme teknikal.
“Kami mahu memastikan penyelesaian yang ditawarkan bukan sahaja moden, tetapi juga pilihan paling diyakini dalam pasaran,” ujarnya.
Dengan peralihan pasaran pada 2026 yang dijangka menyaksikan peningkatan EV pemasangan tempatan (CKD), KINETA berada pada kedudukan strategik untuk menyediakan rangkaian sokongan dan piawaian keselamatan penting bagi mempercepatkan penerimaan EV secara meluas di rantau ini.
- BACA: ERA VAN KEI ELEKTRIK BERMULA, HARGA TIGA KALI GANDA LEBIH MAHAL DARIPADA VERSI PETROL
- BACA: PROTON e.MAS 7 PHEV RASMI DILANCARKAN – TIGA VARIAN, HARGA BERMULA RM109K
- BACA: MCLAREN ARTURA SPIDER MCL39 CHAMPIONSHIP EDITION RAI KEJUARAAN PENGELUAR F1 KE-10
- BACA: TOYOTA KEKAL OTAI 6 TAHUN BERTURUT-TURUT









