Buletin

ERA VAN KEI ELEKTRIK BERMULA, HARGA TIGA KALI GANDA LEBIH MAHAL DARIPADA VERSI PETROL  

Selepas bertahun-tahun tertangguh dalam fasa pembangunan, trio van elektrik kompak kei hasil kolaborasi Toyota, Daihatsu dan Suzuki akhirnya memasuki pengeluaran pasaran di Jepun.

Ketiga-tiga jenama itu kini mengesahkan pelancaran rasmi siri van bateri baharu mereka: Toyota Pixis Van BEV, Daihatsu e-Hijet Cargo dan Daihatsu e-Atrai RS.

Versi Suzuki yang hampir sama, dikenali sebagai e-Every, turut dijadual tiba tidak lama lagi. Model produksi ini rasmi dilancarkan hampir tiga tahun selepas versi konsep pertama dipamerkan pada 2023.

Dari segi luaran, van elektrik ini mengekalkan rekaan asas sama seperti model enjin petrol yang berada di pasaran sejak 2021, dengan perbezaan jelas hanya pada port pengecas yang terletak pada bampar hadapan.

Perbezaan penjenamaan antara Toyota dan Daihatsu juga jelas hanya pada lambang logo. Varian e-Atrai RS daripada Daihatsu, yang disasarkan lebih kepada penggunaan penumpang, hanya ditawarkan dalam satu varian lengkap.

Ia tampil dengan rim besi hitam, aksen warna badan, kemasan krom serta pintu gelongsor berkuasa di kedua-dua sisi.

Ruang kabin menampilkan tuil suis hibrid baharu yang turut digunakan dalam model Toyota lain seperti Prius, selain barisan kelengkapan yang merangkumi tempat duduk hadapan berpemanas, sistem pendingin hawa automatik, port USB, soket AC 100V untuk peranti luaran serta sistem keselamatan pintar dipanggil Smart Assist.

Dari segi fungsi, van ini tetap mengekalkan ciri praktikaliti tinggi dengan petak simpanan di tempat strategik dalam kabin.

Paling penting, peralihan kepada sistem kuasa elektrik tidak menjejaskan ruang kargo mahupun kapasiti beban maksimum sebanyak 350kg.

Secara teknikal, kesemua model ini berkongsi platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dengan sistem pacuan elektrik yang dibangunkan bersama oleh Suzuki, Daihatsu dan Toyota.

Satu motor elektrik pada pacuan belakang menjana kuasa 63hp dengan tork 126Nm, memberi prestasi setanding atau sedikit lebih tinggi berbanding enjin petrol tiga silinder 660cc turbo mereka.

Pakej bateri lithium-ion bersaiz 36.6kWh memberikan jarak pemanduan sekitar 257km mengikut kitaran WLTC, melebihi sasaran pembangunan dan sedikit lebih baik berbanding pesaing utama seperti Honda N-Van e dengan anggaran 245km.

Pengecasan penuh menggunakan outlet 6kW biasa memerlukan kira-kira 6 jam, manakala pengecas pantas 50kW boleh mengisi hingga 80% dalam 50 minit. Model ini juga menyokong teknologi Vehicle-to-Home (V2H).

Juruanalisis jurutera juga menambahbaikan struktur casis khusus EV untuk kestabilan lebih baik hasil pusat graviti yang lebih rendah, serta keselesaan hentakan yang dipertingkat melalui suspensi belakang trailing-link rigid-axle dengan kadar spring dioptimum.

Namun begitu, peralihan kepada elektrik datang dengan premium harga yang ketara. Toyota Pixis Van BEV dan Daihatsu e-Hijet Cargo masing-masing bermula pada ¥3,146,000 (sekitar RM99,000), hampir tiga kali ganda harga model petrol asas yang bermula dari ¥1,100,000 (sekitar RM35,000).

Sementara itu, Daihatsu e-Atrai RS ditawarkan pada harga lebih tinggi iaitu ¥3,465,000 (lebih kurang RM109,000).

Semua model ini dihasilkan di kilang Daihatsu di Nakatsu, Jepun. Toyota mensasarkan jualan sekitar 50 unit sebulan, manakala Daihatsu pula mensasarkan sekitar 300 unit sebulan untuk pasaran domestik Jepun.

Google ads
Back to top button