
MCLAREN ARTURA SPIDER MCL39 CHAMPIONSHIP EDITION RAI KEJUARAAN PENGELUAR F1 KE-10
McLaren Automotive memperkenalkan McLaren Artura Spider MCL39 Championship Edition sebagai penghormatan kepada kejayaan pasukan McLaren Racing merangkul kejuaraan dunia berganda pada musim 2025.
Model edisi khas ini meraikan kemenangan Kejuaraan Dunia Pengeluar Formula 1 yang ke-10 buat McLaren serta kejayaan Lando Norris memenangi Kejuaraan Dunia Pemandu buat kali pertama.
Penghasilan model ini dihadkan kepada 10 unit pelanggan sahaja di seluruh dunia.
Setiap unit mewakili pencapaian bersejarah McLaren dalam sukan permotoran dan menawarkan peluang kepada pelanggan untuk memiliki sebahagian daripada legasi perlumbaan McLaren.
Sentuhan MSO dan Rekaan Luaran

Artura Spider MCL39 Championship Edition direka khas oleh bahagian McLaren Special Operations atau MSO.
Bahagian luaran menampilkan grafik lukisan tangan yang menggabungkan warna MSO Bespoke Myan Orange dan Onyx Black sebagai rujukan terus kepada warna jentera litar MCL39 musim 2025.
Di antara perincian unik pada badan kereta adalah angka 10 yang melambangkan jumlah kejuaraan pengeluar yang telah dimenangi.
Di dalam angka tersebut terdapat corak 10 butir bintang serta garis bentuk halus bagi setiap jentera litar McLaren yang pernah memenangi Kejuaraan Pengeluar sepanjang sejarah penglibatan dalam Formula 1.

Penampilan luaran ini diperkemaskan lagi dengan pakej Black Pack serta penggunaan rim aloi tempa Super-Lightweight Dynamo 10 jejari dengan kemasan Gloss Black.
Sistem brek pula menggunakan angkup berwarna Myan Orange dengan logo McLaren hitam yang dipadankan bersama Stealth Badge Pack dan sistem ekzos sport dengan kemasan Stealth.
Ruang Kabin Eksklusif Dengan Tandatangan Pemandu

Bahagian dalaman Artura Spider menerima sentuhan mewah MSO Bespoke dengan penggunaan material Alcantara Carbon Black dan kulit Nappa Jet Black yang dihiasi garisan kun alur berwarna McLaren Vision Orange.
Kerusi jentera ini dilengkapi sulaman angka 10 pada penyandar kepala manakala roda stereng pula mempunyai penanda pukul 12 berwarna Myan Orange dengan perincian angka yang sama.
Keunikan edisi ini juga terletak pada bahagian bendul pintu atau sill finisher gentian karbon satin yang ditandatangani sendiri oleh pemandu pasukan McLaren iaitu Lando Norris dan Oscar Piastri.

Selain itu sebuah plak khas Custom Casement diletakkan pada konsol tengah untuk menandakan eksklusiviti spesifikasi jentera tersebut.
Setiap unit disertakan dengan plak rekod trek di dalam ruang simpanan hadapan yang menyenaraikan semua kemenangan, petak pertama serta pusingan terpantas yang dicatatkan oleh McLaren sepanjang musim 2025.
Pemilik juga akan menerima cenderamata koleksi khas Kejuaraan Dunia Pengeluar 2025 yang sangat eksklusif.

Rangkaian Kuasa dan Prestasi
Artura Spider dijana oleh enjin V6 120 darjah 3.0 liter dengan teknologi pengecas turbo berkembar elektrik.
Enjin ini dipadankan dengan motor elektrik Flux Paksi dan bateri litium-ion 7.4 kWj yang menggunakan sistem pendingin berasaskan cecair penyejuk.
Secara keseluruhan, rangkaian kuasa ini menghamburkan kuasa maksimum 690 hp dengan tork maksimum mencecah 720 Nm.

Kuasa disalurkan melalui transmisi lapan kelajuan Seamless Shift Gearbox atau SSG dengan ciri E-Reverse yang kini dioptimumkan untuk pertukaran gear lebih pantas.
Prestasi ini membolehkan Artura Spider memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 3.0 saat, manakala pecutan ke 200 km/j hanya mengambil masa 8.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 330 km/j.
Jentera ini juga mampu melengkapkan jarak 400 meter dalam masa 10.8 saat.

Ringkasan Spesifikasi Utama McLaren Atura Spider
- Enjin: 3.0 liter V6 120 darjah pengecas turbo berkembar elektrik
- Motor Elektrik: Flux Paksi 70 kW (94 hp)
- Kuasa Keseluruhan: 690 hp, 720 Nm
- Bateri: 7.4 kWj
- Sistem Pacuan: Roda belakang
- Transmisi: 8 kelajuan Seamless Shift Gearbox (SSG) klac dua sisi tanpa gear mengundur
- Kelajuan Maksimum: 330 km/j
- Pecutan 0 ke 100 km/j: 3.0 saat
- Pecutan 0 ke 200 km/j: 8.4 saat
- Larian 400 meter: 10.8 saat
- Jarak Berhenti 100 ke 0 km/j: 31 mm
- Jarak Berhenti 200 ke 0 km/j: 124 mm
















