
DONGFENG VIGO RASMI DILANCARKAN – JARAK GERAK 471KM, HARGA BERMULA RM100K
Selain model fastback berprestasi tinggi, Dongfeng Cars Malaysia turut melancarkan sebuah SUV elektrik kompak dikenali sebagai Dongfeng VIGO, yang disasarkan kepada pengguna mahukan dengan ciri praktikal harian.
VIGO ditawarkan sebagai pilihan lebih santai dan keluarga, dengan jarak pemanduan sehingga 471km (CLTC), konfigurasi lima tempat duduk, serta pengecasan pantas yang mampu mengisi bateri dari 30% ke 80% dalam sekitar 18 minit.
Dari segi dimensi, Dongfeng VIGO berukuran 4,306mm panjang, 1,868mm lebar, dan 1,654mm tinggi, dengan jarak roda 2,715mm.

Rekaan luarannya lebih berkotak dan lasak, memberikan imej SUV moden yang seakan bersedia untuk aktiviti luar jalan.
Lampu utama LED adaptif bersama DRL berbentuk L menyerlahkan identiti kontemporari, manakala rekaan lampu belakang turut mengikut tema sama.
Di dalam kabin, VIGO menawarkan paparan meter digital 8.8-inci serta skrin infotainmen utama 12.8-inci. Versi Malaysia turut menerima sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, selain kamera sekeliling 540 darjah.

Ciri lain termasuk stereng dua jejari pelbagai fungsi, sistem audio enam pembesar suara, pad pengecas tanpa wayar, upholsteri kulit vegan, tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas dan ventilasi, serta pencahayaan ambien.
Menariknya, VIGO turut hadir dengan rekaan pintu belakang jenis split tailgate, menambah praktikaliti untuk kegunaan harian.
Dari segi spesifikasi, ia adalah sama seperti di Singapura menampilkan motor tunggal di gandar hadapan dengan kuasa 161hp dan tork 230Nm. Pecutan 0-100 km/j dicatat sekitar 9.5 saat.

Tenaga dibekalkan oleh bateri 51.87kWh, menyokong pengecasan pantas sehingga 167kW DC, serta pengecas AC 6.6kW.
Dengan kemampuan pengecasan pantas ini, VIGO jelas disasarkan kepada pengguna bandar dan pembeli EV pertama yang mahukan SUV elektrik mudah dimiliki.
Untuk harga, Dongfeng VIGO boleh dimiliki pada harga bermula RM108,888. Sempena pelancaran, tawaran Istimewa menanti, di mana model ini ditawarkan pada harga RM100,000.
GALERI:

















