Buletin

DRON MQ-25A STINGRAY ISI MINYAK SUPER HORNET DI UDARA

Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) berjaya menggunakan sebuah dron buatan Boeing untuk mengisi minyak sebuah jet tempur Super Hornet di ruang udara negara itu, kata syarikat pembuat pesawat tersebut pada Isnin.

Dron MQ-25A Stingray yang turut dikenali sebagai T1 itu berlepas dari sebuah lapangan terbang di Mascoutah, Illinois sebelum melakukan operasi mengisi minyak tersebut.

Menurut syarikat pembuat pesawat itu, dron MQ-25 menunjukkan kemampuannya melakukan misi mengisi minyak di ruang udara dalam satu penerbangan ujian pada 4 Jun lalu.

Dron itu sudah pun menyempurnakan 25 ujian penerbangan dan dijangka terlibat dalam satu lagi ujian di Virginia menjelang akhir tahun ini.

Menurut AFP, pada tahun 2018, Jabatan Negara AS memberikan kontrak sebanyak AS$805 juta (RM3.3 bilion) bagi membangunkan dron tersebut.

Syarikat Boeing berkata, dron tersebut dihasilkan bagi tujuan mengisi minyak jet F/A-18 Super Hornet sekali gus membantu jet-jet tersebut untuk terbang lebih lama. – SH

Google ads
Back to top button