Buletin

LETUPAN BUKAN SEBAB PUNTUNG ROKOK, PETIR ATAU DRON. POLIS ADA JUMPA MERCUN PAPAN JUGA

Polis Kelantan menafikan dakwaan kenyataan saksi yang mengatakan bahawa sebuah kereta yang meletup sehingga mengorbankan seorang lelaki di Simpang Empat, Kampung Sireh di sini Jumaat lalu berpunca daripada puntung rokok.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, selain itu, pihaknya turut menafikan dakwaan letupan berkenaan berlaku disebabkan oleh panahan petir dan penggunaan dron di kawasan berkenaan seperti yang tular di media sosial.

Menurut Shafien, polis kini sedang menunggu laporan penuh daripada Unit Forensik Polis Diraja Malaysia dan Unit Forensik Jabatan Bomba Dan Penyelemat untuk mengetahui punca sebenar.

“Apa yang boleh saya katakan, kejadian itu bukan berpunca daripada puntung rokok, petir dan penggunaan dron di kawasan tersebut.

“Siasatan berhubung kes itu akan mengambil sedikit masa kerana bahan bukti yang diambil dari lokasi kejadian dalam kuantiti yang banyak. Ia perlu dianalisa terlebih dahulu dan kini sudah hampir siap,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan kejadian letupan kereta yang membawa muatan mercun bola mengorban seorang tukang jahit, Wan Hassan Wan Ali, 48. Letupan dipercayai berpunca daripada puntung rokok yang dibuang mangsa.

Hasil soal siasat terhadap saksi, mangsa disyaki cuba membuang puntung rokok sebelum kereta jenis Proton Iswara Aeroback dipandunya meletup dan terputus dua pada pukul 5.30 petang Jumaat lalu.

Siasatan polis turut mendapati mangsa bukan sahaja membawa muatan mercun bola, malah beberapa sampel mercun jenis papan turut ditemui di lokasi kejadian. – K! ONLINE

Google ads
Back to top button