Buletin

COVID-19: POLIS TERENGGANU PANTAU SUHU INDIVIDU GUNA DRON

Polis Terengganu menggunakan dron bagi mengesan individu dengan suhu badan tinggi yang berada di tempat awam sepanjang tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, dron yang dilengkapi teknologi pengimbas itu mampu mengesan suhu badan dalam kelompok manusia pada jarak 20 meter dari udara.

“Sekiranya dron ini mengesan individu yang mempunyai suhu badan tinggi seperti 37.5 darjah Celsius, ia akan menyalakan lampu merah dan anggota penguatkuasa kita akan segera ke lapangan untuk mengenal pasti individu bergejala itu.

“Dron ini kita telah gunakan sejak dua atau tiga hari lepas dan ia sangat membantu pasukan pemantauan kita. Walaupun kita ada 157 pasukan pemantauan SOP (Prosedur Operasi Standard), mereka bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.

“Ini menyebabkan mereka tidak dapat memantau semua tempat secara serentak termasuk mengesan individu bergejala yang berada di tempat awam,” katanya.

Beliau berkata dron yang berpangkalan di Kuala Terengganu itu dipinjamkan oleh sebuah syarikat swasta di negeri itu untuk kegunaan pihak polis sepanjang penguatkuasaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Pada April tahun lalu, polis Terengganu pernah menggunakan dron bagi mengesan pergerakan dan suhu badan penduduk di Dungun semasa Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha mencegah penularan Covid-19 di kawasan itu. – Bernama

Google ads
Back to top button