Buletin

DRON PILIHAN PESAWAH DI KELANTAN. MAKIN CANGGIH INDUSTRI PERTANIAN

Penggunaan teknologi dron bagi melancarkan kerja semburan racun dan baja cecair di sawah padi, kini semakin popular di Kelantan sekali gus menggalakkan golongan muda menceburkan diri dalam bidang pertanian dan usahawan.

Perintis penggunaan dron di Kelantan, Noor Hanif Noordin, 33, berkata sejak diperkenalkan di Kelantan hujung Mac lepas, rata-rata petani mula berminat untuk menggunakan khidmat dron yang diusahakan beliau bersama sebuah syarikat Ikhwan Afif Resources (IAR) yang berpangkalan di Lumut, Perak.

Katanya, idea penggunaan dron bagi melakukan kerja-kerja sawah tercetus selepas beliau gagal mencari orang untuk melakukan semburan racun dan baja di tanah sawah milik mentuanya di Endau, Johor.

 “Saya mulakan khidmat dengan membeli dua unit dron bernilai RM70, 000 yang dipasang sendiri di bawah kendalian syarikat IAR” katanya ketika ditemui semasa melakukan kerja-kerja menyembur racun dan baja di Bendang Jelor, Pasir Puteh.

Noor Hanif menambah, teknologi dron semakin terkenal dalam kalangan petani di sekitar daerah Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Tumpat bagi melancarkan operasi menyembur racun dan baja di sawah padi.

Noor Hanif yang juga Pegawai Teknologi Maklumat di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkata beliau dibantu oleh empat pekerja berkemahiran menerbangkan dron dan mempunyai lesen Jabatan Penerbangan Awam (DCA) serta mampu meraih pendapatan sampingan sehingga RM7,000 sebulan.

Katanya, melalui penggunaan teknologi dron, semburan racun atau baja akan lebih menyeluruh dan cepat kerana bagi sawah keluasan 0.4 hektar, sebanyak 15 liter baja atau racun dapat dilaksanakan.

“Bagi keluasan sawah seluas 0.4 hektar, kerja penyemburan memerlukan anggaran tujuh minit berbanding cara konvensional iaitu antara sejam hingga dua jam,” katanya.

Sebelum ini, dia menambah syarikatnya, IAR Pantai Timur Enterprise, mampu melakukan semburan sehingga lapan hektar sawah dengan upah RM30 bagi setiap 0.4 hektar sehari. Namun kini permintaan telah meningkat sehingga 24 hektar sehari.

Mengulas cabaran mengendalikan dron, Noor Hanif berkata, faktor cuaca, memainkan peranan penting ketika menerbangkan dron yang beratnya boleh mencecah sehingga 56 kilogram dengan bebanan, selain perlu mengawal ketinggiannya agar semburan racun dapat benar-benar menghapuskan penyakit dan serangan ulat padi.

“Dron tidak dapat diterbangan dalam cuaca hujan atau angin kuat. Jadi, prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai topeng muka dan sarung tangan perlu sentiasa dipatuhi, selain mengikuti garis panduan Jabatan Pertanian Negeri,” katanya yang berasal dari Kampung Sri Kulim Melor, Kota Bharu, dekat sini.

Katanya, teknologi dron dalam melakukan kerja-kerja sawah akan diperluaskan ke seluruh Kelantan dan Pahang, jika mendapat permintaan. -Bernama

Tags
Google ads
Back to top button