
FASA PERTAMA SUKE RASMI DIBUKA. TOL PERCUMA SELAMA SEBULAN. KURANGKAN KESESAKAN SEHINGGA 36%
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri haji Fadillah Yusof hari ini melancarkan fasa pertama Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang melibatkan jajaran sepanjang 16.6km bermula dari Persimpangan Cheras-Kajang dan berakhir Persimpangan Bukit Antarabangsa.
Sejurus pelancaran itu, Lebuhraya SUKE akan mula beroperasi dan dibuka secara rasmi kepada pengguna. Tol akan diberikan secara percuma selama sebulan bermula 12 tengah malam 16 September 2022. Fasa pertama pembukaan SUKE melibatkan dua plaza tol iaitu Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang serta 11 persimpangan keluar dan masuk.
Lebuhraya SUKE akan menjadi lebuh raya alternatif utama kepada salah satu laluan paling sesak di Lembah Klang iaitu Lingkaran Tengah 2 (MRR2). Ia dijangka mampu menyuraikan trafik untuk beberapa lokasi strategik di sepanjang MRR2, Jalan Ampang dan Jalan Loke Yew sehingga 36 peratus pada waktu puncak.

Lebuhraya berkenaan menghubungkan rangkaian lebuhraya lain di Lembah Klang seperti Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (KL-Seremban), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Cheras Kajang (CKE), MRR2, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) serta Lebuhraya Timur Lembah Klang (EKVE) yang masih dalam pembinaan pada masa depan.
Lebuhraya SUKE dibangunkan oleh Projek Lintasan Sungai besi-Ulu Klang Sdn. Bhd., anak syarikat Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) bermula pada Ogos 2016. Ia berdepan dengan pelbagai cabaran memandangkan 90 peratus jajarannya dibina secara bertingkat di atas jalan raya sedia ada bersama aliran trafik aktif, dalam kawasan perumahan berkepadatan tinggi, komersial dan perindustrian.
Pengerusi PROLINTAS, Dato’ Idris Kechot berkata kejayaan fasa pertama pembukaan Lebuhraya SUKE merupakan satu pencapaian besar buat PROLINTAS sebagai pengendali lebuhraya terbesar di Lembah Klang.

“Pembinaan Lebuhraya SUKE telah membawa banyak limpahan ekonomi. Kami telah mewujudkan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan. Sevanyak 248 kontraktor dan 10 perunding utama terlibat dalam pembinaan projek ini. Sekitar 10,000 peluang pekerjaan disediakan merangkumi pelbagai peringkat dalam bidang pengurusan, kejuruteraan, teknikal, pembantu barisan hadapan dan pekerja kontrak,” katanya.
Pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial turut dijalankan sepanjang pembinaan Lebuhraya SUKE untuk membantu serta memberi kelegaan kepada penduduk sekitar. Antaranya termasuklah penambahbaikan Jalan Hulu Langat, sebahagian jalan MRR2 dan melebarkan Jalan Ampang daripada dua kepada tiga lorong.
Tidak ketinggalan, menanam semula 14,000 anak pokok hutan di Hutan Simpan Sungai Besi seluas 11.33 hektar, membina semula Kuarters dan Balai Polis Trafik IPD Ampang Jaya, menambah baik Surau Dato’ Ahmad Razali, membika semula pejabat dan kuarters pekerja Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah serta rumah Penghulu Ampang.
Konssi Lebuhraya SUKE bermula 25 Disember 2014 dan berakhir pada 24 Disember 2069 melibatkan tempoh selama 55 tahun. Setakat 30 Ogos 2022, Lebuhraya SUKE sudah mencapai kadar kemajuan sebanyak 98 peratus. Jajaran sejauh 7.8km yang masih dalam pembinaan membabitkan Plaza Tol Alam Damai dan tiga lagi persimpangan dijangka siap pada suku pertama tahun 2023.
- BACA: PEMBINAAN SUKE – LORONG SEMENTARA DITUTUP, ALIRAN DI MRR2 DIAKTIFKAN
- BACA: PROJEK SUKE SUDAH 87% SIAP, LEBIH AWAL DARIPADA JADUAL DITETAPKAN
- BACA: BUMBUNG TOYOTA VELLFIRE, RUSH ROSAK DITIMPA BANCUHAN SIMEN DI BAWAH JAMBATAN SUKE
- BACA: CERITA WARGA KOTA : APAKAH JADAHNYA LEBUHRAYA BANYAK BANYAK DALAM KUALA LUMPUR NI?
GALERI










