Buletin

PROLINTAS JADI PENGENDALI LEBUH RAYA PERTAMA GUNA TEKNOLOGI AI & MACHINE LEARNING AISYA

Seiring dengan transformasi pendigitalan, Kumpulan Syarikat PROLINTAS telah menggunakan artificial intelligence dan machine learning, sekali gus melancarkan Sistem Pemantauan Lebuh Raya berteraskan teknologi pintar yang dinamakan PROLINTAS Smart Surveillance System (S3) di semua lebuh raya seliaannya.

Ia merangkumi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Kajang SILK (SILK).

Pelancaran S3 meletakkan PROLINTAS sebagai syarikat konsesi pertama di Malaysia menggunakan teknologi pintar dalam pengurusan operasi lebuh raya.

S3 dibangunkan untuk meningkatkan tahap kecekapan operasi lebuh raya yang melibatkan pemantauan permukaan lebuh raya, pengesanan kerosakan aset lebuh raya, kemalangan, objek asing, kawasan air bertakung dan kehadiran haiwan.

Ini merupakan sebahagian daripada keupayaan sistem tersebut, selain live video streaming, notifikasi dan laporan bersepadu pada masa sebenar.

β€œPROLINTAS amat berbangga dengan pelaksanaan S3 yang sejajar dengan usaha berterusan syarikat untuk meningkatkan kadar keselamatan dan tahap kepuasan pengguna lebuh raya.

β€œInisiatif ini mengetengahkan cara kerja yang lebih efisyen dan moden dalam penggunaan teknologi selaras dengan Revolusi Industri 4.0,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah.

Secara ringkasnya, pengesanan dilakukan menerusi kamera dash board dengan prapemprosesan imej oleh komputer bersaiz kecil (raspberry pi) yang dipasang pada setiap kenderaan peronda lebuh raya.

Imej itu kemudian disalurkan secara terus menerusi rangkaian 4G ke pelayan cloud untuk pemprosesan pengecaman dan klasifikasi dan tindakan selanjutnya. Teras utama pelaksanaan S3 adalah penggunaan teknologi kepintaran buatan (AI) dan machine learning yang diberi nama AISYA (artificial intelligence system analytics).

AISYA berperanan memproses imej-imej dan buat pengecaman, pengkelasan, analisis data dan laporan digital secara bersepadu seterusnya memberikan notifikasi kepada petugas menerusi aplikasi mobile dan web.

Sejak dilancarkan pada 19 Ogos 2020, S3 telah mengesan 1,303 kes pada bulan pertama dan 440 pada bulan berikutnya. Daripada jumlah ini, lebih 50 peratus daripada kes-kes kerosakan permukaan dan aset lebuh raya telah dibaik pulih menerusi notifikasi real-time S3.

PROLINTAS juga ada melancarkan sistem aplikasi pengurusan operasi lebuh raya iaitu PROLINTAS Integrated Maintenance Escalations (PRIME) yang dibangun menggunakan platform Microsoft Kaizala & Flow.

Ia bukan sahaja memodenkan kerja-kerja pelaporan insiden dan aktiviti penyelenggaraan, malah meningkatkan kecekapan proses baik-pulih serta pemantauan kemajuan kerja.

Dengan adanya teknologi ini, ia membantu operasi lebuh raya seliaan PROLINTAS agar lebih berdaya saing dan sistematik. Sekali gus memberi fokus optimum dalam menjamin keselamatan dan kepuasan pengguna lebuh raya.

Google ads
Back to top button