PEMBINAAN SUKE – LORONG SEMENTARA DITUTUP, ALIRAN DI MRR2 DIAKTIFKAN
Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd., syarikat konsesi bagi pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) akan melaksanakan penutupan lorong dan pengaktifan laluan kontra sepanjang dua kilometer; bermula KM 37.2 hingga KM39, di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) iaitu di antara Persimpangan Persiaran Mewah dengan Pekan Sungai Besi.
Penutupan dijadual akan berlangsung selama enam bulan bermula 24 September 2021 hingga 31 Mac 2022.
Menurut Timbalan Pengurus Besar SUKE, Dr. Ir. Zarulazam Eusofe, penutupan lorong dilaksanakan bagi memberi laluan kepada pembinaan 11 unit tiang, kerja-kerja konkrit dan pemasangan tembok parapet yang akan merentasi MRR2. Penutupan dan laluan kontra ini adalah penting bagi tujuan memastikan jarak selamat ai antara pengguna jalan dengan tapak pembinaan.
“Pelaksanaan aktiviti ini untuk mengelakkan sebarang kejadian luar jangka kepada pengguna lebuhraya MRR2. Sepanjang tempoh pembinaan berlangsung, kedua-dua lorong U-overhead berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan tiga lorong Sungai Besi Bound (SBB) akan ditutup untuk lalu lintas.
“Aliran kontra dua lorong akan diaktifkan dari arah Ulu Kelang, manakala trafik menuju Ulu Kelang akan dialihkan menerusi susur keluar di TBS. Bagi fasa kedua yang dijadual bermula 1 Disember 2021 hingga 28 Februari 2022, aliran kontra dua lorong akan bertukar menjadi satu lorong,” tambah Dr. Ir. Zarulazam.
Sepanjang tempoh Fasa 1 Pelan Pemulihan Nasional (NRP), SUKE dan pemaju projek MRCB Builders Sdn. Bhd. akan mematuhi panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Kesihatan (KKM) semasa aktiviti pembinaan berlangsung.
Aktiviti ini dilaksanakan setelah mendapat kelulusan dari Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya.
Justeru, SUKE ingin menasihatkan orang ramai untuk merancang perjalanan agar dapat mengelakkan sebarang kesulitan. Bagi yang menuju ke Ulu Kelang dari Lebuhraya KESAS dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif seperti E516, Sri Petaling menuju ke Kuala Lumpur.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini atau menghantar maklumbalas, sila berhubung dengan saluran komunikasi SUKE seperti berikut:
- Telefon hotline : 1 300 88 9922
- Facebook : PROLINTAS Highways
- Twitter : @mySUKEofficial
- Emel: [email protected]
- Laman web : www.mysuke.com.my