
BUMBUNG TOYOTA VELLFIRE, RUSH ROSAK DITIMPA BANCUHAN SIMEN DI BAWAH JAMBATAN SUKE
Sebuah Toyota Vellfire dan Rush rosak selepas terkena bancuhan simen sewaktu melalui bawah jambatan lebuh raya yang sedang dibina di Persiaran Alam Damai, Cheras, Rabu lalu.
Dalam insiden yang berlaku pada 1.30 petang itu, kedua-dua kenderaan tersebut mengalami kerosakan pada bahagian bumbung.
“Ketika kejadian, satu lorong ditutup untuk pembinaan dan dua kenderaan terbabit sedang bergerak perlahan di bawah lokasi pembinaan jambatan projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).
“Bancuhan simen berkenaan jatuh daripada atas jambatan yang dalam pembinaan itu. Ia menyebabkan kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan namun tiada kecederaan dilaporkan,” kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya dalam satu kenyataan.
Seorang lelaki warga Indonesia yang memandu Toyota Vellfire, sudah tampil membuat laporan. Namun, seorang lagi pemandu masih belum berbuat demikian.
Berikutan insiden tersebut, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), pemaju projek lebuh raya berkenaan telah mengeluarkan arahan pemberhentian semua kerja konkrit.
PROLINTAS dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya juga akan mengkaji semula prosedur keselamatan.
Sebagai pemaju bagi projek pembinaan Lebuhraya SUKE, pihaknya memandang serius kejadian itu dan siasatan dalaman terhadap kontraktor dan pekerja yang terbabit telah dijalankan.
“Langkah keselamatan tambahan juga telah diambil dengan serta merta,” katanya.
Kontraktor bagi pakej berkenaan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu. SUKE juga telah berhubung dengan pemilik kenderaan terbabit dan persetujuan berkaitan telah dicapai, katanya.- Berita Harian
- BACA: LAGI PROTON SAGA DIHEMPAP OBJEK DI SUKE? BUKAN, INI KES LANGGAR LARI
- BACA: WANITA PANDU SAGA BLM NYARIS MAUT DIHEMPAP BONGKAH KONRIT DI SUKE
- BACA: PROLINTAS JADI PENGENDALI LEBUH RAYA PERTAMA GUNA TEKNOLOGI AI & MACHINE LEARNING AISYA
- BACA: #IKLANPILIHAN: HONDA S2000 THE LEJEN!