Buletin

PROLINTAS SEDIAKAN FOOD BANK DI 4 LEBUH RAYA SELIAANNYA

Prihatin dengan keadaan semasa masyarakat sekeliling dalam menghadapi perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), Kumpulan Syarikat PROLINTAS telah mengambil inisiatif mewujudkan ‘food bank’ di kesemua empat jajaran lebuh raya seliaannya bermula semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat PROLINTAS, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah memberitahu, inisiatif tersebut dijalankan secara kolektif oleh syarikat dan kakitangan yang tampil mengumpul dana berjumlah hampir RM100,000.

Dana yang dikumpul digunakan untuk membeli barangan keperluan asas seperti minyak masak, beras, tepung, susu, gula dan sardin. Barang-barang itu kemudian ditempatkan di beberapa lokasi strategik lebuh raya. 

Program itu telah dimulakan pada Isnin, 12 Julai 2021 di Hentian Sebelah Plaza Tol Sungai Balak, Lebuhraya Kajang SILK (SILK). Orang awam yang memerlukan bantuan ini dialu-alukan untuk datang dan mengambil barangan tersebut mengikut keperluan. 

Selain di Lebuhraya SILK, dalam tempoh terdekat ini adalah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) turut akan melaksanakan aktiviti yang sama. 

“Justeru, orang awam dinasihatkan untuk secara aktif melayari akaun media sosial PROLINTAS bagi mengetahui hebahan aktiviti food bank ini,” kata Mohammad Azlan.

Terdahulu, PROLINTAS telah mengedarkan 300 kampit beras, 300 botol minyak masak dan beberapa makanan asas yang lain kepada penduduk Kampung Sungai Penchala.

Google ads
Back to top button