Artikel Pilihan

BEKAS KETUA PEREKA APPLE PERCAYA BUTANG KAWALAN MESTI DIKEKALKAN – APA BARANG ASYIK SENTUH SKRIN KACA JE

Kami bukan peminat produk Apple ataupun iPhone tapi kata-kata mamat ni memang ada logiknya. Bukan semua benda perlukan kawalan dengan penyentuh permukaan kaca. Tapi itulah, makin banyak pengeluar kenderaan yang mula menghapuskan butang kawalan biasa dan digantikan dengan skrin kawalan bersepadu.

Memang nampak moden tetapi ciri estetikanya memang semua ke laut. Apa susah sangat ke nak pusing tombol untuk menguat dan memperlahankan bunyi pembesar suara? Mungkin ia berkaitan dengan kos kot? Ye lah, mau tak jimat kalau semua fungsi disumbat masuk ke dalam satu gajet sahaja. Panggil gajetlah senang sebab fungsinya pun dah macam telefon pintar.

Syukurlah seorang pakar rekaan terkenal juga mempunyai pendapat yang sama seperti kami. Jony Ive ialah pereka yang bertanggungjawab menghasilkan rekaan asal iMac, iPhone dan iPad tetapi telah meninggalkan Apple pada tahun 2019 untuk menubuhkan firma rekaan beliau sendiri yang dinamakan, LoveFrom bersama dengan pereka industri Marc Newson. Lain macam bang nama syarikat kau.

Pakar seperti Ive semestinya mempunyai kepakaran dan pengetahuan tentang apa yang digemari dan tidak digemari oleh pengguna khususnya berkaitan dengan teknologi infotainment.

Beliau berucap di satu persidangan di AS bersama CEO Apple Tim Cook dan Laurene Power Jobs. Ive menyatakan keyakinan beliau yang permintaan terhadap butang kawalan fizikal akan semakin bertambah dan pengeluar kenderaan terpaksa memikirkan kembali strategi mereka terutama berkaitan dengan rekaan dalaman kenderaan.

Kami memang menyokong seratus peratus. Bagi kami butang kawalan fizikal ini bagaikan tulisan Braille yang membolehkan kita mengawalnya tanpa mengalihkan pandangan semasa memandu. Berbeza bukan berbanding penggunaan skrin sentuhan?

Ingat tak dulu kita boleh menaip mesej menggunakan telefon Nokia 3310 tanpa melihat skrin paparan dengan sebelah tangan sahaja? Cuba buat dengan telefon pintar mahal korang tu, boleh tak? Apa? Tak pernah pakai Nokia 3310? Sahih yang tak pernah pakai ni generasi Tiktok.

Google ads
Back to top button