Buletin

PROLINTAS BIKIN REKOD MBOR EDAR 100,000 PELEKAT KENDERAAN SEMPENA HARI INTEGRITI

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi syarikat pertama mengedar pelekat kenderaan paling banyak di negara ini.

Rekod berkenaan dilakukan bersempena sambutan Hari Integriti 2020 syarikat konsesi tersebut yang bertemakan ‘Putuskan Rantaian Rasuah’.

Dalam acara diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) tersebut, sebanyak 100,000 pelekat diedarkan di empat lebuh raya sekitar Lembah Klang.

Ketua Pegawai Operasi (Komersil & Kewangan) PROLINTAS, Malik Parvez Ahmad berkata, pelekat kenderaan itu diedarkan di sembilan plaza tol di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Kajang SILK (SILK).

“Semua pelekat khas itu berjaya diedarkan kepada hampir 100,000 pengguna jalan raya dalam tempoh sehari sekali gus mencatat rekod dalam MBOR,” katanya.

Hadir sama ialah, Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Nor Azmi Karim.

Malik menjelaskan, pengiktirafan rasmi itu akan disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam tempoh terdekat.

Katanya, inisiatif pengedaran pelekat itu membuktikan komitmen tinggi pihaknya dalam memerangi gejala rasuah.

“Kita sememangnya amat mengutamakan amalan integriti dalam menjalankan perniagaan bersama semua rakan niaga,” ujarnya.

Google ads
Back to top button