Buletin

FORD GT MK II, RM4.96 JUTA SEUNIT (UNTUK LITAR SAHAJA)

Di sebalik deruman enjin kereta super buatan Ferrari, Lamborghini dan McLaren ada sebuah lagi model yang hebat tetapi kurang mendapat perhatian.

Anda boleh menjumpai model-model keluaran jenama di atas atau Ford Mustang sendiri tetapi sukar sekali untuk menemui Ford GT di atas jalan raya.

Sejarah di sebalik model asal iaitu GT40 juga menarik apabila ia dibina bagi mengalahkan Ferrari di litar lumba selepas kedua-dua pihak gagal untuk memeterai pembelian syarikat daripada Itali tersebut.

Model Ford GT di pasaran sekarang adalah generasi kedua yang diperkenalkan pada tahun 2016.

Jika Ford GT suatu yang sukar (atau belum pernah) ditemui di jalan raya kita, ini ada buah tangan baharu yang lebih rare.

Pada Goodwood Festival of Speed lalu, Ford dan Multimatic memperkenalkan Ford GT Mk II dengan jumlah terhad dan untuk kegunaan litar lumba sahaja.

Model ini mempunyai kuasa 700 hp daripada enjin 3.5 liter EcoBoost dan dibangunkan secara bersama di antara Ford dan Multimatic.

Model ini juga dibangunkan daripada pengalaman kejayaan kereta lumba Ford GT di dalam FIA World Endurance Championship dan IMSA WeatherTech SportsCar Championship.

Berapa banyak Ford GT Mk II akan dikeluarkan? Hanya 45 unit sahaja dengan harga permulaan USD 1.2 juta (RM4.96 juta).

Berikut ialah maklumat tentang Ford GT Mk II:

  • Dibina di kilang Ford sebelum dihantar ke Multimatic Motorsports untuk disiapkan sebagai model perlumbaan
  • Masih berkongsi beberapa komponen utama dengan GT versi jalanan
  • Spoiler belakang mempunyai daya mendapan (downforce) lebih berbanding GT standard
  • Kadar daya mendapan 400 peratus lebih tinggi berbanding GT standard manakala suspensi dan tayar perlumbaan Michelin Pilot Sport menambah lagi cengkaman lateral sebanyak 2 g
  • Lebih ringan dan lincah. Suspensi dengan fungsi boleh laras ketinggian dan mod pemanduan ditanggalkan yang memberikan penjimatan lebih daripada 90 kg

  • Suspensi baharu adalah jenis boleh laras lima arah DSSV dan dengan jarak ketinggian kekal memberikan tahap pengendalian lebih baik
  • Masih kekal menggunakan enjin 3.5 liter EcoBoost sama seperti GT jalanan dan disebabkan ia tidak dibina mengikut mana-mana kelas perlumbaan, kuasa enjin dinaikkan 200 hp kepada 700 hp
  • Enjin dipadankan bersama transmisi tujuh kelajuan berkembar model standard dengan kalibrasi istimewa untuk kegunaan di litar
  • Menggunakan sistem penyejukan enjin dengan semburan air secara automatik dalam suhu panas
  • Menggunakan brek Brembo dengan cakera seramik 15.5 inci di depan dan 14.1 inci di belakang
  • Roda aluminium 19 inci dan tayar Michelin Pilot Sport GT
  • Bahagian dalaman diisi dengan kerusi lumba Sparco dan tali pinggang keledar perlumbaan enam poin dan opsyen kerusi untuk penumpang
  • Sistem perolehan data MoTec yang juga berfungsi sebagai paparan kamera belakang

Menjawab persoalan kenapa Ford GT begitu eksklusif sehingga sukar atau belum pernah ditemui di jalan tempatan ialah kerana ia hanya dikeluarkan sebanyak 250 unit sahaja setahun untuk pasaran global.

Jika Ford GT40 hebat, model gantian yang ini juga berjaya menunjukkan belang apabila memenangi kelas GTE Pro Le Mans dalam percubaan pertama bertanding pada tahun 2016.

Pencapaian tersebut penting kerana Ford GT40 generasi pertama menang empat kali Le Mans dengan azam kuat bagi mengalahkan Ferrari!

Tags
Google ads
Back to top button