Buletin

FORD GT TAHUN 2018 DIJUAL PADA HARGA RM5 JUTA. RAMAI KATA TAK BERBALOI

Minat pengumpul kereta terhadap Ford GT nampaknya tidak pernah surut apabila sebuah jentera berprestasi tinggi itu berjaya dijual pada harga AS$1.21 juta (RM5.02 juta) dalam satu lelongan oleh firma Barrett-Jackson. 

Harga itu sebenarnya hampir tiga kali ganda berbanding harga ketika ia dilancarkan di Amerika Syarikat iaitu sekitar AS$450,000 (RM1.87 juta) seunit pada tahun 2018. Harga yang sangat tinggi itu membuatkan ramai tertanya-tanya adakah berbaloi untuk membelinya. 

Apatah lagi Ford GT hanya menggunakan enjin V6 turbo berkembar 3.5 liter sahaja serta tidak boleh menandingi pesaing-pesaingnya dari Eropah dari sgi kuasa dan tork. Biarpun begitu, ia sememangnya satu pelaburan yang bagus untuk semua pembeli awal. 

Model tahun 2018 tersebut merupakan antara model-model terawal yang dijual di pasaran terpakai, memandangkan kontrak tidak boleh menjual dalam tempoh 24 bulan yang dikenakan oleh Ford telah tamat. Situasi itu menyaksikan beberapa unit Ford GT mula bertukar tangan. 

Ada yang dijual pada harga hampir AS$1 juta (RM4.15 juta) dan penjualan terbaharu itu menunjukkan harga Ford GT akan terus naik, sekurang-kurangnya untuk masa terdekat. 

Ford GT yang dilelong itu didatangkan dalam warna hitam bersama jalur perlumbaan. Ia turut dipasang dengan rim aluminium Satin Graphite bersaiz 20 inci yang dibalut oleh tayar Michelin Pilot Sport Cup 2.

Brek terdiri daripda cakera serami dan angkup Brembo berwarna merah. 

Bahagian dalam pula dilengkapi tempat duduk Sparco gentian karbon dan tali pinggang keledar keselamatan. Ia hanya mencatat perbatuan sejauh 1,372km sahaja. 

GALERI

Google ads
Back to top button