Buletin

FORD PUMA RALLY1 2023 DIDEDAHKAN. MAMPUKAH PASUKAN M-SPORT FORD KEMBALI MENYINAR?

Akhirnya yang ditunggu – tunggu telah tiba. Pasukan M-Sport Ford telah menayangkan jentera / livery terbaharu mereka bagi menghadapi saingan FIA World Rally Championship (WRC) bagi musim 2023. Secara jujurnya, rekaan livery pasukan M-Sport Ford yang berpangkalan di Britain cukup dinantikan. Rekaan livery jentera mereka cukup menarik. Iya, berbanding dua lagi pasukan, inilah yang paling cantik.

Untuk musim 2023 ini, pasukan M-Sport Ford masih lagi berganding dengan Red Bull sebagai penaja utama. Maka, pelekat gambar lembu meradang di kiri dan kanan jentera cukup untuk membuatkan jentera Ford Puma Rally1 ini lebih menyerlah.

Berbanding livery tahun sudah, tahun ini mereka tidak lagi menggunakan layangan warna ungu di beberapa bahagian jentera. Malah, livery tahun ini dirasakan lebih menyerlah dengan warna biru yang mendominasi sebagai warna asas jentera ini.

Perlumbaan pembukaan di Monte Carlo sudah pasti menjadi tumpuan, apatah lagi tahun sudah jentera Ford Puma Rally1 ini muncul juara bersama pemandu lagenda Sebastian Loeb. Cuma malangnya untuk perlumbaan di Monte Carlo ini kelibat Sebastian Loeb tidak akan dapat dilihat disebabkan beliau mempunyai tugasan di Rally Dakar. Malah, pasukan M-Sport sebenarnya masih lagi berunding bersama sang lagenda mengenai lokasi dimanakah Sebastian Loeb bakal berlumba musim ini sebagai pemandu separuh masa.

Walau bagaimana pun, tumpuan pasti terarah kepada pemandu Ott Tanak yang menyertai mereka selepas berpisah dengan pasukan Hyundai Motorsport hujung musim lepas. Ott Tanak diharapkan untuk menggalas tugas selaku pemandu utama untuk mengutip mata pasukan dan mencabar kejuaraan kategori pemandu.

Seorang lagi rakan sepasukan beliau Pierre-Loius Loubet telah diberikan peluang untuk menjadi pemandu sepenuh masa selepas melakukannya dengan baik pada musim lepas dengan mempamerkan keputusan yang memberangsangkan.

Untuk jentera ketiga, jentera Ford Puma Rally1 ini bakal dipandu oleh pemandu persendirian, Jourdan Serderidis yang berasal dari Greece. Jourdan Serderidis yang berusia 58 tahun telah beberapa tahun memandu jentera Ford secara persendirian dengan menggunakan livery sendiri. Walau bagaimana pun, untuk Monte Carlo beliau bakal menggunakan livery yang sama juga bersama pasukan M-Sport Ford. Malah, beliau juga bakal berlumba beberapa pusingan menggunakan jentera Ford Puma Rally1 ini kelak.

BACA : M-SPORT FORD BERSEDIA UNTUK MENYERLAHKAN LAGI POTENSI FORD PUMA RALLY1. OTT TANAK SAHIH BERSAMA

BACA :  SAHIH! SEBASTIAN LOEB MEMBUAT KEMUNCULAN SEMULA WRC BERSAMA M-SPORT FORD

Google ads

B K

Back to top button