Buletin

WRC 2023 - ELFYN EVANS DAN TOYOTA SAPU BERSIH DI JEPUN

Pemandu pasukan Toyota Gazoo Racing, Elfyn Evans berjaya meraih kemenangan di FORUM8 Rally Japan dengan menyaksikan dominasi pasukannya di hadapan penonton tuan rumah untuk menyapu bersih kemenangan podium.

Pemandu yang berasal dari Wales, Elfyn Evans merangkul kemenangan kelapan dalam kariernya dengan menamatkan 1 minit 17.7 saat dominan di hadapan rakan sepasukan Sébastien Ogier untuk perlumbaan pusingan terakhir musim ini, sekali gus mengesahkan tempatnya sebagai pemandu naib juara dalam FIA World Rally Championship (WRC) musim ini. Kedudukan naib juara ini adalah kali ketiga buat Elfyn Evans.

Elfyn Evans meletakkan asas untuk mencapai kejayaan pada awal perlumbaan aspal di Jepun apabila beliau berjaya mencatatkan kelebihan masa hampir dua minit pada perlawanan perlumbaan yang dibasahi hujan.

Sejak itu, beliau dapat mengawal perlumbaan dengan menyesuaikan tahap risikonya agar sesuai dengan keadaan kondisi laluan trek yang sentiasa berubah akibat. Malah, terdapat beberapa insiden kemalangan membabitkan beberapa pemandu utama seperti Dani Sordo, Adrien Fourmaux serta pemandu tuan rumah, Takamoto Katsuta.

Juara WRC musim ini, Kalle Rovanperä pula melengkapkan kemenangan bergaya buat pasukan Toyota Gazoo Racing di perlumbaan tuan rumah dengan menduduki podium terakhir. Keputusan cemerlang ini menutup tirai musim WRC 2023 dengan gemilang buat pasukan Toyota Gazoo Racing sementelah mereka terlebih dahulu mengesahkan kejuaraan kategori Pemandu dan juga Pengeluar. Kejayaan kategori Pengeluar ini adalah kali ketiga berturut – turut buat Toyota.

Sebastian Ogier, yang hanya berlumba secara sambilan musim ini, telah merosakkan casis jentera GR Yaris apabila beliau terbabas ke penghadang ketika saingan hari Sabtu. Kerja pembaikan yang diperlukan bermakna Sebastian Ogier melebihi masa servis yang diperuntukkan. Ini mengakibatkan beliau dikenakan penalti masa satu minit yang akhirnya menghalangnya daripada terus untuk mengejar Elfyn Evans di hadapan.

Akhirnya, Sebastian Ogier hanya berjaya meninggalkan Kalle Rovanpera di kedudukan ketiga dengan hanya kelebihan masa 28 saat sahaja dengan pemandu pasukan Hyundai, Esapekka Lappi berada di kedudukan keempat keseluruhan.

Pemandu tuan rumah, Takamoto Katsuta pula terpaksa berpuas hati untuk berada di kedudukan kelima keseluruhan walau pun beliau berjaya memenangi 9 SS daripada 21 SS yang dipertandingkan. Itu pun disebabkan insiden yang berlaku pada hari Jumaat yang mengakibatkan beliau kehilangan banyak masa berharga. Jika tidak, podium juga pasti menanti beliau.

Sementara itu, Ott Tanak yang beraksi buat kali terakhir memandu jentera Ford Puma Rally1 bersama pasukan M-Sport Ford, gagal beraksi cemerlang dan hanya berada di kedudukan keenam keseluruhan sahaja. Musim hadapan beliau akan kembali semula menyertai pasukan Hyundai Motorsport buat kali kedua.

Dengan berakhirnya musim WRC 2023, kesemua pasukan akan berehat seketika bagi membuat perancangan baharu sebelum kempen WRC 2024 bermula pada Januari nanti di Monte Carlo sebagai perlumbaan pembuka tirai.

BACA : WRC 2023 – KALLE ROVANPERA BERJAYA MUNCUL JUARA WRC 2023!

BACA : WRC 2023 – ELFYN EVANS MENANG DI SECTO RALLY FINLAND YANG PENUH DENGAN DRAMA

Google ads

B K

Back to top button