WRC 2023 - KALLE ROVANPERA BERJAYA MUNCUL JUARA WRC 2023!
Pemandu muda Finland Kalle Rovanpera yang juga merupakan juara bertahan FIA World Rally Championship (WRC) berjaya merangkul sekali lagi kejuaraan musim ini apabila berjaya muncul tempat kedua keseluruhan di Central European Rally yang buat pertama kalinya dianjurkan.
Kalle Rovanpera yang muncul naib juara kepada pemandu Hyundai Motorsport, Thierry Neuville yang berjaya memenangi perlumbaan tersebut sekali gus memastikan kejuaaran yang dinantikan tanpa perlu menunggu sehingga ke perlumbaan terakhir di FORUM8 Rally Japan.
Hanya setahun yang lalu, Kalle Rovanperä mencipta sejarah apabila dia menjadi juara WRC termuda dalam sejarah. Hari ini beliau sekali lagi berdiri di samping pemandu lagenda yang lain seperti Carlos Sainz, Walter Röhrl dan Miki Biasion sebagai pemenang WRC berganda.
Memulakan perlumbaan Central European Rally dengan kelebihan 31 mata ke atas rakan sepasukan Toyota Gazoo Racing Elfyn Evans, Kalle Rovanperä hanya perlu mengekalkan kelebihannya untuk merangkul mahkota. Apabila Elfyn Evans mengalami kemalangan dramatik pada pagi Sabtu, sudah tentu peluang untuk muncul juara sudah terjamin.
Permulaan Kalle Rovanpera bersama Jurarah Jonne Halttunen dilihat agak konsisten sepanjang musim ini apabila muncul juara perlumbaan sebanyak tiga kali di Portugal, Estonia dan juga Greece. Malah beliau hanya dua kali sahaja terkeluar daripada podium sepanjang musim ini.
“Saya berasa sangat baik. Saya rasa tahun ini, bagi saya secara peribadi, lebih penting daripada tahun lepas. Persaingan lebih ketat, dan kami melakukan kerja yang sangat baik. Setinggi-tinggi terima kasih sudah tentu ditujukan kepada Jonne – dia juga Juruarah terbaik dunia. Saya akan menikmati yang ini lebih daripada yang pertama.” ujar Kalle Rovanpera.
Pun begitu, kemenangan Thierry Neuville di perlumbaan Central European Rally ini tidak boleh dinafikan begitu sahaja. Beliau berjaya mempamerkan pemanduan yang handal untuk mengenepikan Kalle Rovanpera bermula saingan hari Sabtu lagi dalam perlumbaan yang licin melintasi Jerman, Austria dan juga Republik Czech.
Sementara itu, pemandu pasukan M-Sport Ford, Ott Tanak berjaya menduduki tempat ketiga keseluruhan setelah mengalami masalah dengan sistem hidraulik Ford Puma Rally1 beliau pada perlumbaan hari Jumaat.
Pemandu lagenda, Sebastian Ogier yang turut berlumba dalam perlumbaan yang julung kali diadakan ini berada di tempat keempat bersama jentera Toyota GR Yaris Rally1 walau pun sempat mengalami dengan masalah dengan tayar pada hari Jumaat.
Pun begitu, saingan untuk merebut tempat kedua masih lagi terbuka diantara Thierry Neuville dan juga Elfyn Evans untuk ke perlumbaan terakhir nanti di Jepun.
BACA : WRC 2023 – CENTRAL EUROPEAN RALLY PERTAMA KALI MEMBABITKAN TIGA BUAH NEGARA
BACA : KALLE ROVANPERÄ – INILAH DIA JUARA WRC TERMUDA YANG PATUT ANDA KENALI