
GENESIS GV80 JADI ASET TERBAHARU POLIS DUBAI
Polis Dubai memiliki antara jentera-jentera mewah terbaik dibangunkan syarikat-syarikat pengeluar kenderaan di dunia.
Aset terbaharu menjadi ‘ahli keluarga’ polis Dubai merupakan SUV mewah Genesis GV80 2021.
Model baharu tersebut dihantar pengedar rasmi Genesis di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Juma Al Majid Est. dan akan digunakan dalam rondaan di jalan raya.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan pihak polis Dubai dalam pelbagai inisiatif bertujuan menyebarkan kesedaran di semua segmen masyarakat mengenai keselamatan lalu lintas.
“Dengan dilengkapi teknologi terkini, Genesis GV80 mampu menyumbang memudahkan operasi Polis Dubai dan menyediakan perkhidmatan kepada khalayak umum,” kata pengarah Genesis UAE, Suliman AlZaben.

Genesis GV80 2021 itu mendapat sentuhan warna badan putih dipadankan kemasan berwarna hijau mengikut livery jentera-jentera pihak berkuasa terbabit.
Bagaimanapun, modifikasi lain tidak dilakukan pada SUV terbabit seperti lampu kecemasan pada bumbung, spotlight dan beberapa peralatan digunakan pada kereta peronda lain.

Genesis GV80 2021 dijual di pasaran Amerika Syarikat (AS) dalam tiga varian yang berbeza tawaran harga bermula dari AS$48,900 (RM202,568).
Varian standard mendapat khidmat enjin 2.5 liter 4 silinder turbo yang mampu menjana kuasa 300hp dan tork 422Nm dipadankan transmisi automatik 8 kelajuan.

Versi pacuan semua roda (AWD) dari varian ini dijual pada AS$54,650 (RM226,387).
Bagi varian tertinggi 3.5T pula, ia didatangkan enjin V6 3.5 liter turbo berkembar yang berupaya menghambur kuasa mencecah 376hp dan tork 530Nm tork serta dijual pada harga AS$59,650 (RM247,100). – carscoops