Buletin

SUV MEWAH DARI KOREA. GENESIS GV80 MAHU CABAR BMW X5, AUDI Q7 & GLE

Selepas beberapa kali tertangguh, Genesis akhirnya mendedahkan foto dan perincian rasmi SUV mewahnya, GV80. 

Menjadi SUV pertama buat Genesis yang merupakan jenama mewah untuk Hyundai, GV80 mahu mencabar model seperti BMW X5 Mercedes-Benz GLE dan Audi Q7. 

Gayaannya yang mula diperkenalkan kepada umum pada New York Auto Show 2017 itu adalah hasil kerjasama stdio rekaan Genesis di Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Jerman.

Luaran GV80 nyata kelihatan tegap dan sofistikated dengan gril berbentuk pentagonal yang besar. 

Ia kemudian diapit oleh lampu quad nipis yang menjadi signatur rekaan baharu buat Genesis seperti yang boleh dilihat kepada G90 2020. 

Ruang kabin pula mengetengahkan rekaan minimalis dengan butang kawalan yang minimum. Papan pemuka dipasang dengan satu skrin paparan sentuh yang besar untuk sistem infohibur. Sementara konsol tengah dihuni oleh satu lagi skrin lebih kecil dan tombol kawalan suhu. 

Selain ruang penyimpanan barang, ruang tengah turut menempatkan pemilih kedudukan gear elektronik sama seperti yang ada pada model Jaguar sebelum ini. Genesis memberitahu GV80 akan ditawarkan dengan pilihan konfigurasi dua dan tiga baris tempat duduk. 

Sama seperti model sedan, GV80 akan didatangkan dengan pacuan roda belakang dan semua roda.

Walaupun Genesis tidak mendedahkan apakah enjin yang akan digunakan, maklumat yang bocor menyatakan ia bakal dilengkapi tiga pilihan enjin untuk pasaran Korea Selatan. 

Pertamanya ialah enjin V6 turbo diesel bersesaran 3.0 liter berkuasa 274hp dan tork 589Nm yang dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan. Gabungan itu membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa 6.8 saat. 

Enjin kedua ialah 2.5 turbo empat selinder dengan kuasa 300hp dan tork 422Nm yang menawarkan pecutan 0-100km/j dalam masa 6.9 saat. Varian paling tinggi pula akan menggunakan enjin V6 turbo bersesaran 3.5 liter dengan kuasa 375hp dan tork 530Nm. Pecutan 0-100km/j boleh dicapai dalam masa 5.7 saat sahaja. 

Genesis menyatakan GV80 akan dilancarkan ke pasaran global pada tahun 2010 dengan jualan di Korea Selatan bermula bulan ini.  

Google ads
Back to top button