Buletin

HARGA ACURA INTEGRA TYPE S DAH KELUAR, AS$50.8 RIBU (RM225 RIBU), LAGI MAHAL DARIPADA CIVIC TYPE R!

Acura sebelum ini mendedahkan spesifikai Acura Integra Type S dan kini berkongsi harga yang ditawarkan iaitu AS$50,800 (RM225,449). 

Harga yang disyorkan (MSRP) itu lebih tinggi berbanding kembar Honda Civic Type R yang ditawarkan pada AS$42,895 (RM190,296). 

Walaupun berkongsi banyak komponen, Integra Type S lebih mewah dan dilengkapi pelbagai komponen selari dengan kedudukan Acura sebagai jenama premium.

Selain itu, harga akhir kenderaan di Amerika Utara ditentukan pengedar dan bergantung kepada jumlah tokokan (mark-up).

Jumlah yang dibayar pembeli untuk Civic Type R biasanya lebih tinggi daripada harga MSRP disebabkan jenama dan populariti.

Selain lebih mewah, enjin K20C1 2.0 liter turbo Integra Type S menghasilkan 320 kuasa kuda (hp) pada 6,500 rpm dan tork 420Nm dari 2,600 rpm hingga 4,000 rpm.

Angka itu sedikit tinggi berbanding Civic Type R yang berkuasa 315 hp pada 6,500 rpm dan nilai tork untuk kedua-dua model pula sama. 

Di antara ciri istimewa pada Integra Type S ialah kerusi sport depan dengan fungsi pemanas, kluster meter digital Acura Precision Cockpit™ 10.2 inci dan sistem papar pandu (HUD).

Turut dilengkapi sistem audio premium ELS STUDIO 3D® dengan 16 pembesar suara, sambungan tanpa wayar Apple CarPlay® dan Android Auto dan pengecas telefon tanpa wayar.

Transmisi manual enam kelajuan dipadan dengan pembeza gelincir terhad (LSD) jenis heliks.

Suspensi depan menggunakan bentangan dwipaksi (dual axis) yang meningkatkan cengkaman di jalan dan membantu mengurangkan larian daya kilas (torque steer).

Sistem Peredam Boleh Suai (Adaptive Damper System) membolehkan kawalan pemanduan dan pengendalian dengan tepat dan menyesuaiakan kereta mengikut keadaan pemanduan.

Di sebalik roda depan dipasang brek Brembo dan keempat-empat sudut dipasang rim ringan 19 inci dengan tayar beprestasi tinggi Michelin Pilot Sport 4S saiz 265/30 R19.

Dari segi rekaan, model ini membawakan gaya agresif seperti Acura Type S lain dan menariknya tanpa spoiler tinggi di belakang. 

Tiga muncung ekzos pula menandakan model ini berkongsi enjin dengan Civic Type R.

Tempahan dalam jumlah terhad dibuka pada 11 Mei dan pembeli berpeluang untuk menempah satu daripada 200 unit terawal sebelum mula diedarkan secara rasmi kepada pengedar pada Jun.

BACA: ACURA INTEGRA TYPE S SAH BERKUASA 320 HP! CABAR CIVIC TYPE R?

BACA: ACURA TLX TYPE S PMC EDITION – INI SUPER DUPER WOW!

BACA: ACURA MDX TYPE S – SUV BERPRESTASI TINGGI YANG WOW!

Google ads
Back to top button