ACURA INTEGRA TYPE S SAH BERKUASA 320 HP! CABAR CIVIC TYPE R?
Penawaran semula Integra berjaya menggegarkan dunia peminat automotif antarabangsa. Masakan tidak, Integra satu daripada model Type R dan sudah lama tidak mempunyai model pengganti.
Hanya ada satu Integra kali ini iaitu di bawah Acura dan tidak lagi berkongsi dengan Honda. Walaupun di bawah Acura, Integra berkongsi beberapa komponen dengan Honda Civic FE (generasi kesebelas).
Honda meletakkan siri berprestasi di bawah nama Type R manakala Acura pula dengan Type S. Contoh mudah ialah edisi terhad NSX Type S yang kesemuanya sudah habis dijual.
Selain NSX, ada lagi dua model iaitu kenderaan utiliti sukan (SUV) MDX Type S dan sedan TLX Type S.
Keluarga berprestasi itu bakal mempunyai ahli baharu selepas Acura mengumumkan Integra Type S akan dilancar pada April 2023.
Setakat ini Acura berkongsi beberapa gambar yang menunjukkan gaya lebih agresif dan turut mengesahkan jenis enjin dan kuasa.
Enjin yang digunakan ialah 2.0 liter VTEC Turbo dan mempunyai kemungkinan yang hampir pasti sama seperti K20C1 Civic Type R.
Dari seri gayaan, Integra Type S tidak menonjol seperti Civic Type R dengan spoiler tinggi di belakang.
Integra Type S nampak seperti abangnya TLX Type S yang tampil sederhana. Dari segi posisi, Acura dibangunkan dan dipasarkan sebagai jenama premium.
Satu lagi yang disahkan ialah enjin Integra Type S berkuasa 320 hp dan tork 420Nm. Sebagai perbandingan, Civic Type R berkuasa 315 hp dan tork 420Nm.
Berdasakan angka tersebut adakah Integra Type R lebih berkuasa? Di atas kertas nampak sahih namun beberapa lagi perkara perlu dilihat seperti daya pecutan, julat rpm dan berat kereta.
Sama seperti Civic Type R, Integra Type S menggunakan transmisi manual enam kelajuan. Gambar dari belakang juga menunjukkan Integra Type S mempunyai ekzos tiga muncung.
Maklumat lanjut akan diketahui apabila Integra Type S diperkenalkan pada pertengahan April.
BACA: ACURA TLX TYPE S PMC EDITION – INI SUPER DUPER WOW!