Buletin

ACURA NSX TYPE S ONE AND A HALF, DIBUAT SENDIRI KAKITANGAN HONDA!

Satu daripada trend ubah suai kereta hari ini ialah cari sebuah model yang sama dan potong separuh untuk dijadikan treler di belakang.

Nampak menarik dan lebih berani jika kereta yang dipotong dari spesis sukar ditemui. Bukan sahaja dibuat oleh bengkel atau individu, Acura pun turut sama dengan memotong sebuah NSX.

Projek itu atau NSX Type S “one-and-a-half” dibuat bagi menyertai perlumbaan rali jalanan “2023 Tire Rack One Lap of America presented by Grassroots Motorsports Magazine”.

Bukan acara biasa, perlumbaan itu berlangsung dari 6 hingga 13 Mei dengan jarak 5,149 kilometer dari Indiana dan merentasi 15 buah negeri di Amerika Syarikat.

Turut disenaraikan di dalam perlumbaan ialah pusingan di beberapa pusat permotoran seperti Road Atlanta di Braselton, Georgia dan Nashville Superspeedway di Lebanon, Tennessee.

Tugas memandu diserah kepada pasangan jurutera dinamik kenderaan dan sistem brek Honda Auto Development Center (ADC), Justyn Bobinski dan Chad Gilsinger.

Acura NSX Type S dengan kuasa 600 hp itu akan menunda treler NSX yang diisi tayar ganti, perkakasan dan bendalir ke setiap acara di litar.

Sebuah lagi kereta iaitu Acura TLX Type S turut bertanding dan diwakili kakitangan Honda of America Racing Team (HART) sebagai pemandu dan menyediakan sokongan teknikal.

Acura NSX Type S bersaing di dalam kategori “Sports and Grand Touring, Small Bore, Stock GT” dengan nilai lebih AS$50,000.

Kereta hibrid super itu tidak banyak diubah suai dan diisi minyak sintetik Red Line, rim HRE dengan tayar Falken dan balutan badan sama seperti kereta hadapan (pace car) Acura Grand Prix of Long Beach.

Treler NSX pula dibuat oleh kakitangan fabrikasi ADC.

Asalnya adalah sebuah unit ujian (test mule) yang diselamatkan dari dilupus. Kereta itu dipotong dan dipasang pintu jenis buka ke atas untuk memudahkan mengambil barangan.

Treler itu menggunakan gegelung H&R dan turut dipasang rim HRE dan tayar Falken. Supaya praktikal dan selamat, kamera undur disambung kepada sistem maklumat hibur.

Bagi menarik treler dengan selamat, rig tunda NSX Type S dipasang tetulang pelanggaran belakang yang dibuat kakitangan ADC dan untuk penyangkut tunda.

NSX Type S dan treler NSX adalah projek permotoran istimewa kedua yang disiapkan bahagian fabrikasi ADC pada 2023 selepas Honda CR-V Hybrid Racer.

TLX Type S pula kali kedua menyertai One Lap of America selepas tamat di tempat kedua di dalam kategori Mewah dan Mewah Standard pada edisi tahun lalu.

Sedan sport itu bakal dipandu jurutera pengujian penilaian produk, Dan Klein dan jurutera dinamik kenderaan, ketahanan dan brek, Nick Amato.

BACA: HARGA ACURA INTEGRA TYPE S DAH KELUAR, AS$50.8 RIBU (RM225 RIBU), LAGI MAHAL DARIPADA CIVIC TYPE R!

BACA: ACURA TLX TYPE S PMC EDITION – INI SUPER DUPER WOW!

BACA: ACURA MDX TYPE S – SUV BERPRESTASI TINGGI YANG WOW!

Google ads
Back to top button