Buletin

HONDA BUKA TEMPAHAN INTEGRA HATCHBACK DI CHINA. PILIHAN VARIAN HIBRID DAN 1.5L VTEC TURBO, HARGA BERMULA RM83K

Honda Integra kini didatangkan dengan varian hatchback lima pintu di China. Dihasilkan oleh GAG-Honda, ia boleh didapati dengan rangkaian kuasa ICE dan hibrid.

Honda Integra pada asalnya diperkenalkan pada September 2021 sebagai alternatif GAC-Honda kepada Civic Dongfeng-Honda. Model-model ini berkongsi platform, rangkaian kuasa, bahagian dalam dan kebanyakan panel badan.

Integra hatchback berukuran 4,563mm panjang, 1,802mm lebar, 1,415mm tinggi dengan jarak roda 2,735mm. Ini menjadikannya 126mm lebih pendek berbanding sedan Integra dan hanya 14mm lebih panjang berbanding Civic hatchback.

Integra hatchback mengekalkan rupa reka bentuk khas dengan lampu depan LED yang memanjang dan bampar lebih bergaya.  Tetapi, bahagian badan yang lain sebahagian besarnya adalah mirip dengan hatchback Civic.

Satu-satunya perubahan di bahagian belakang ialah bampar yang dipasang dengan mounted reflectors secara menegak, peresap udara lebih sporty dan banyak kemasan hitam di atas dual paip ekzos. Gayaan ini bagaimanapun hanya untuk trim berkuasa ICE.

Dari segi pilihan warna, ia akan ditawarkan dengan warna khas seperti kuning yang terdapat dalam gambar dengan bumbung hitam.

Seperti Civic, varian 240 Turbo didatangkan dengan enjin empat silinder VTEC 1.5 liter turbo yang menghasilkan 180hp dan tork 240Nm. Kuasa disalurkan ke gandar hadapan melalui sama ada kotak gear manual enam kelajuan atau CVT.

Bagi varian hibrid e:HEV pula, ia akan dikuasakan oleh rangkaian kuasa self-charging hibrid yang terdiri daripada enjin 2.0 liter aspirasi semula jadi dan motor elektrik tunggal.

GAC-Honda sudah mula menerima pra-tempahan untuk Integra hatchback meskipun harga masih belum diumumkan secara rasmi. Menurut laporan, Integra hatchback akan bermula pada harga sekitar AS$19,320 (RM83,356) untuk 240 Turbo, manakala e:HEV berharga AS$24,377 (RM105,174).

Google ads
Back to top button