
ACURA PERFORMANCE EV CONCEPT BAYANGAN MODEL BAHARU
Sebuah lagi kenderaan elektrik (EV) berprestasi bakal masuk pasaran selepas Acura mempertontonkan Performance EV Concept di Amerika Syarikat (AS).
Acura sebenarnya sudah mempunyai kenderaan utiliti sukan (SUV) EV ZDX yang diperkenal pada Ogos 2023.
Acura Performance EV Concept pula sebuah lagi SUV dan kali ini bertunjangkan prestasi dan pengeluaran dijadualkan pada penghujung 2025.
Acura Performance EV Concept dibangunkan Studio Reka Bentuk Acura di Los Angelses dan model pertama dibangunkan dari pelantar EV Honda baharu dan EV pertama dikeluarkan di Hab EV Honda di Ohio.
ZDX merupakan projek kerjasama di antara Honda dan General Motors.
Dari segi rekaan, Acura Performance EV Concept menyerlah dengan rupa garang yang diilhamkan dari kapal pesiar hidrofoil. Tukup depan juga menarik dengan lekukan ke dalam.
Lekukan ke dalam diteruskan pada bahagian dapra dan pintu dan mengembang ke belakang.
Karakter prestasi dijelaskan lagi pada bumbung ala coupe dan condong ke belakang.
Satu lagi pakej yang menyerlahkan sisi kereta ialah jarak roda panjang, juntaian pendek dan lengkungan roda yang memuatkan rim 23 inci dan tayar berprestasi saiz 295/35R23.
Angkup brek empat omboh warna Moonlit White menghuni ruang di sebalik rim.
Jika bahagian depan membawa konsep hidrofoil, bahagian belakang pula membawa warisan dengan lampu panjang dan peresap besar sebagai penghormatan kepada NSX generas kedua.
Tulisan Acura dalam bentuk baharu pada but adalah khusus untuk kenderaan elektrifikasi syarikat.
Acura tidak memperincikan rangkaian kuasa dan sebagai rujukan ZDX Type S pacuan semua roda dengan dua motor menghasilkan 499 kuasa kuda dan tork 738Nm.
Bateri yang dibekalkan memiliki kuasa 102 kilowatt-jam (kWj) dan jarak pemanduan sehingga 447 kilometer.








